wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Bantuan Sara Hidup (Bsh) 2019 Untuk Golongan Bujang


Pada bulan Februari 2019 lalu, berdasarkan keprihatinan kepada tekanan kos sara hidup, Kerajaan telah mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM100 kepada golongan bujang B40 akan dibuat pada hujung bulan Mac 2019. Sukacita diumumkan Kementerian Kewangan telah mengotakan komitmen ini dan telah membuat bayaran tersebut kepada 3 juta individu minggu ini, melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM300 Juta. Sebelum ini, pada 28 Januari 2019, Kerajaan telah turut membuat bayaran BSH fasa pertama sebanyak RM300 kepada 4.1 juta isi rumah dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 Bilion, sebagai langkah memenuhi janji Kerajaan.

Kementerian Kewangan juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM120 juta untuk Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi. Di bawah bantuan tersebut, setiap penuntut pendidikan tinggi diberi RM100 melalui Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat. Bantuan ini dijangka memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar dan telah disalurkan secara berperingkat mulai 28 Mac 2019.

Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan akan mengambil langkah untuk memastikan bantuan bagi golongan yang benar-benar memerlukannya.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
29 Mac 2019