Print this page

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Penjualan Tanah dan Bangunan Malaysia di Hong Kong


Berhubung dengan Bangunan Malaysia di Hong Kong, yang juga merupakan Bangunan Pejabat Konsulat Malaysia, Mesyuarat Jemaah Menteri dalam Kerajaan terdahulu telah mencadang dan memutuskan untuk menjual tanah dan melupuskan bangunan tersebut secara rundingan terus pada 14 Mac 2018 disebabkan, di antara lain, kos membaik pulih bangunan tersebut terlalu tinggi sehingga mencecah RM300 Juta.

Adalah dikesali apabila mantan Menteri Kewangan Dato’ Sri Najib Tun Razak cuba mengelak daripada menjawab soalan mengapa pentadbiran beliau memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus dan bukan secara tender terbuka. Sebaliknya, beliau cuba mengalihkan perhatian dengan bertanya sama ada projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang juga dijalankan secara tender terbuka. Perlu ditegaskan projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang dijalankan secara tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Kerajaan terdahulu telah memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan tersebut di Hong Kong secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dengan harga RM1.1 Bilion, di mana surat tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebelum 9 Mei 2018. Akan tetapi selepas perubahan kerajaan, MOF telah menerima beberapa tawaran lain pada nilai yang lebih tinggi, setinggi RM1.6 Bilion berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh Kerajaan terdahulu melalui rundingan terus sebanyak RM1.1 Bilion.

Oleh itu, MOF dengan kelulusan Kabinet, telah memutuskan supaya penjualan tanah dan bangunan ini tidak dilakukan secara rundingan terus, sebaliknya secara tender terbuka. Proses penjualan dan pelupusan hartanah tersebut akan dilakukan dengan cara tersebut untuk memastikan Kerajaan mendapat nilai terbaik daripada penjualan hartanah tersebut.

Keputusan ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk menjalankan pentadbiran dengan berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) untuk memastikan kebajikan rakyat dipelihara dengan sebaiknya dalam setiap keadaan. Proses tender terbuka untuk penjualan tanah dan bangunan tersebut sedang berjalan, dan diyakini akan dapat memberikan hasil yang bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah tersebut, dan memberikan penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan Kerajaan.

Kini tiba masanya untuk mantan Menteri Kewangan jelaskan mengapa beliau bersetuju dengan penjualan tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus dengan harga yang begitu rendah sebanyak RM1.1 Bilion, berbanding dengan harga tawaran lain setinggi RM1.6 Bilion?

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
27 Mac 2019