wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Petikan Ucapan Penggulungan Bahas Titah Diraja Oleh Menteri Kewangan Di Dewan Rakyat Pada 26 Mac 2019: Projek Tun Razak Exchange (Trx)


Akibat daripada salah laku yang telah berlaku, TRX City Sdn Bhd (TRXC) telah menghadapi masalah kewangan untuk menyiapkan pembangunan infrastruktur projek Tun Razak Exchange (TRX). Ini kerana sebahagian besar dana yang diperoleh melalui pinjaman dan terbitan sukuk untuk projek tersebut telah diselewengkan oleh 1MDB untuk tujuan lain.

Projek TRX berkeluasan 70 ekar dibangunkan oleh TRXC, yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pihak TRXC telah mengesahkan bahawa 1MDB sebelum ini telah menerima sejumlah RM3.69 Bilion melalui pinjaman dan daripada Kerajaan secara langsung dan tidak langsung bagi tujuan membangunkan TRX dan Bandar Malaysia. Akan tetapi, sejumlah RM1,611 Juta dan RM1,456 Juta yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan TRX dan Bandar Malaysia telah digunakan oleh 1MDB untuk tujuan lain seperti di jadual berikut:

Sumber Jumlah (RM Juta) Jumlah (RM Juta)
Dana pembangunan TRX dan Bandar Malaysia yang diperoleh melalui pinjaman dan daripada Kementerian Kewangan 3,688   
Peruntukan TRX yang diagihkan ke 1MDB   1,611
Peruntukan Bandar Malaysia yang diagihkan ke 1MDB   1,456
Jumlah 3,688 3,067

Justeru, bagi menampung kehilangan dana akibat penyelewengan oleh 1MDB, Kerajaan Pakatan Harapan terpaksa menyelamatkan projek TRX dan Bandar Malaysia dengan bantuan kewangan masing-masing sebanyak RM2.799 Bilion dan RM744 Juta.

Projek TRX ini memang berpotensi tinggi untuk menjadi sebuah lagi pusat aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur, dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia. Akan tetapi penyelewengan yang berlaku telah memberikan kesan kepada pembangunan projek ini, yang juga menyebabkan pelabur-pelabur antarabangsa jauhkan diri mereka daripada TRX dan Malaysia.

Akan tetapi setelah proses penjernihan atau “detoxification” di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Kerajaan telah berjaya memulihkan keyakinan pelabur-pelabur antarabangsa terhadap TRX dan Malaysia. Selepas usaha “detox”, TRX Exchange kini adalah projek bebas rasuah yang mendapat kepercayaan pelabur di dalam dan luar negara. Empat institusi bank iaitu HSBC, Maybank, Standard Chartered dan Sumitomo Mitsui Banking Corp begitu yakin terhadap Kerajaan dan menyediakan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.15 Bilion kepada syarikat usaha sama TRX City Sdn Bhd – Lendlease, syarikat pemaju dari Australia, atas kemantapan projek tersebut.

Saya percaya lebih banyak pelabur akan tertarik dengan projek ini, yang boleh menjadi satu projek global bertaraf antarabangsa selepas dibersihkan daripada isu- isu berkaitan dengan 1MDB. Kerajaan akan meneruskan projek-projek yang berpotensi tinggi berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT) untuk menggalakkan pembangunan ekonomi Malaysia secara bersih dan bermaruah. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan meneruskan usaha-usaha untuk memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh seluruh warga Malaysia.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
27 Mac 2019