wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Kementerian Kewangan Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada program Foodbank Malaysia

Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 Juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) untuk menyediakan 14 buah lori dilengkapi pendingin (chiller) bertujuan melaksanakan program Foodbank Malaysia bagi mengedarkan makanan kepada golongan B40 termasuk di 20 universiti awam.

Ini merupakan sebuah inisiatif awam-swasta untuk memperluas capaian bank-bank makanan yang ditubuhkan NGO dan pihak swasta, dan memastikan bantuan dapat disampaikan kepada pihak yang memerlukan dan kumpulan sasaran. KPDNHEP, di bawah kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution, sudah tentu akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan inisiatif ini.

Kerajaan prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat, terutamanya oleh golongan B40. Inisiatif-inisiatif baharu seperti ini, pemberian Bantuan Sara Hidup, dan takaful perlindungan mySalam yang memberikan bantuan kewangan untuk penghidap 36 penyakit kritikal daripada kumpulan B40, merupakan antara usaha Kerajaan untuk meringankan beban tersebut.

Kerajaan juga komited untuk memastikan kenaikan harga terkawal terutamanya untuk barang keperluan. Pengenaan had paras harga runcit untuk minyak RON95 pada RM2.08 seliter, yang diturunkan daripada RM2.20 seliter, dan minyak diesel pada RM2.18 merupakan salah satu langkah yang diperkenalkan untuk tujuan ini.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 Mac 2019