wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Kerajaan Persekutuan Berjaya Menjimatkan RM5.22 bilion Atau
23% Daripada Kos Kerja Atas Tanah Untuk Projek MRT2 Manakala
Penjimatan Tambahan Bakal Diperolehi Apabila Kerja Bawah Tanah
Ditender Semula Secara Terbuka



Projek transit aliran deras atau mass rapid transit (MRT) adalah projek strategik Kerajaan Persekutuan yang dijalankan untuk mempertingkatkan ketersambungan (connectivity) pengangkutan rel awam di Lembah Klang. Projek MRT Laluan 2 (MRT2) secara khususnya akan memenuhi keperluan penduduk Lembah Klang yang masih tidak lagi dihubungkan dengan sistem rel. Ia menawarkan perkhidmatan MRT di sepanjang koridor berkepadatan tinggi yang menghubungkan Sungai Buloh dengan Serdang dan Putrajaya.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRTCo) merupakan sebuah syarikat milikan penuh Kementerian Kewangan yang berfungsi sebagai pemilik dan pengurus projek MRT2.

Projek MRT2 telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Februari 2014 dengan anggaran awal berjumlah RM28 bilion. Kos ini tidak termasuk fi perunding, fi PDP, faedah pinjaman dan kos operasi MRTCo. Jemaah Menteri juga bersetuju supaya Syarikat Usaha Sama MMC-Gamuda dilantik sebagai Project Delivery Partner (PDP) untuk melaksanakan projek ini.

Walau bagaimanapun, kos keseluruhan MRT2 telah melambung naik kepada RM56.93 bilion akibat faktor-faktor seperti kelulusan Railway Scheme yang melibatkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia, perubahan skop, penurunan nilai ringgit dan lain-lain. Kos ini terdiri daripada kos pembinaan RM39.35 bilion, kos pengambilan tanah RM6.18 bilion, kos bas perantara dan depot RM0.36 bilion, lainlain kos sebanyak RM1.2 bilion, serta anggaran kos faedah semasa pembinaan RM9.84 bilion. Jadual A merumuskan kesemua kos tersebut:

Jadual A: Kos Projek MRT2

Bil   Perkara  Kos Asal MRT2 (RM bilion)
 1   Kos Pembinaan: Kerja Atas Tanah   22.64 
 2  Kos Pembinaan: Kerja Bawah Tanah  16.71
 3  Jumlah Kos Pembinaan  39.35
 4  Kos Pengambilan Tanah  6.18
 5  Kos Bas Perantara dan Depot   0.36
 6   Kos-kos Lain   1.20
 7  Anggaran Kos Faedah Semasa Pembinaan  9.84
 8   Jumlah Kos Bukan Pembinaan 17.58 
 9   Jumlah Kos Keseluruhan  56.93 

 

Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, agensi kerajaan seperti MRTCo serta pihak swasta telah menjalankan rundingan pengurangan kos terhadap Projek MRT2 sejak bulan Mei 2018. Sebuah firma jururunding kejuruteraan telah dilantik bagi menjalankan kajian rasionalisasi kos tersebut.

Susulan daripada kajian tersebut, Jemaah Menteri pada 3 Oktober 2018 telah menerima tawaran daripada MMC-Gamuda melalui dua surat bertarikh 15 Ogos dan 7 September 2018 untuk melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2 sebagai turnkey contractor dengan kos RM17.42 bilion berbanding dengan kos asal RM22.64 bilion. Ini merupakan satu penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23% berbanding kos asal kerja atas tanah yang dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja yang masih mengekalkan kesemua stesen atas tanah.

Akan tetapi, Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda telah gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah.

Oleh yang demikian, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah ditamatkan. Kerja-kerja yang masih belum disiapkan akan ditender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa. Jemaah Menteri mengambil keputusan tersebut setelah mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender terbuka berbanding dengan tawaran pihak kontraktor.

Kerajaan Pakatan Harapan mahu mendapatkan “value for money” untuk semua perbelanjaan kerajaan, terutama apabila sesuatu projek tersebut melibatkan pinjaman yang besar. Penjimatan berjumlah berbilion ringgit dapat mengurangkan beban hutang dan faedah yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, yang akhirnya perlu dibiayai melalui pengenaan cukai ke atas rakyat pada masa hadapan.

Penjimatan RM5.22 bilion atau 23% berbanding kos asal untuk kerja-kerja atas tanah telah berjaya dicapai dan penjimatan tambahan akan diperolehi apabila kerja-kerja bawah tanah ditender semula secara terbuka tidak lama lagi.

Di samping itu, penjimatan kos projek ini akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar oleh pengguna MRT, sekaligus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan penduduk Lembah Klang.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
7 Oktober 2018

Muat Turun Lampiran:
Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Green Red Radian
Select menu
Google Font
Body Font-size
Body Font-family