wrapper

Topik Popular

Kementerian Kewangan berkata, peruntukan RM1 bilion bagi membiayai projek baik pulih sekolah daif di Sarawak adalah sebenarnya wang kerajaan persekutuan yang didahulukan kepada kerajaan negeri. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA
: Putrajaya bersetuju pada dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik hutang negeri Sarawak kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM1 bilion untuk tujuan membaik pulih sekolah daif di negeri itu tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ni berkata, pada masa semasa hutang kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM2.375 bilion dan sekiranya RM1 bilion digunakan untuk tujuan baik pulih sekolah, maka baki hutangnya kepada Putrajaya adalah sebanyak RM1.375 bilion.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan kerajaan Sarawak untuk menggunakan wang bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif adalah sebenarnya wang pendahuluan kerajaan persekutuan kerana melibatkan dana yang dipinjamkan kepada kerajaan negeri sebelum ini.

“Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada kerajaan persekutuan, maka ia bermaksud dana RM1 bilion itu sebenarnya merupakan wang milik kerajaan persekutuan sendiri yang digunakan untuk membaik sekolah daif di Sarawak,” kata kenyataan itu. Dalam pada itu Kementerian Kewangan menggariskan 4 mekanisme perundangan yang mengawal persetujuannya untuk menerima cadangan negeri Sarawak berhubung pembiayaan membaik sekolah daif di negeri itu, iaitu:

Kerajaan negeri hendaklah membayar balik pinjaman RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada kerajaan persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif.

Kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan etelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan kerajaan persekutuan.

Kerajaan persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan kerajaan negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif yang hendak dibaik pulih.

Kementerian Kewangan juga berkata, kaedah pelaksanaan perkara tersebut telah dijelaskan kepada kerajaan negeri dalam mesyuarat di kementerian tersebut sebelum ini, tetapi tidak mendapat respons daripada Sarawak.

“Pendirian kerajaan persekutuan berhubung pelaksanaan projek baik pulih sekolah daif di Sarawak yang dinyatakan dalam 4 perkara di atas telah dijelaskan semasa mesyuarat di Kementerian Kewangan pada 11 Mac 2019 dan disusuli surat bertarikh 20 Mac, tetapi sehingga kini tiada sebarang makluman diterima daripada kerajaan negeri Sarawak,” kata kenyataan itu.