wrapper

Topik Popular


Kerajaan bersetuju untuk meneruskan tempoh pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kediaman Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk tempoh enam bulan lagi, bermula 1 Julai sehingga 31 Disember, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya lanjutan tempoh adalah bagi terus menggalakkan lagi peningkatan jumlah pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dan bagi mencapai objektif untuk mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual.

"HOC telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai kerana insentif pengecualian duti setem dan pemberian diskaun sebanyak 10 peratus dapat mengurangkan kos pemilikan rumah kediaman terutamanya bagi rakyat Malaysia yang belum pernah memiliki rumah," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

HOC telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 dan dilaksanakan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun merupakan kerjasama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

REHDA bersama-sama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) telah terlibat sepenuhnya dalam kempen HOC dengan tujuan utama untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah kediaman dengan harga dan kos yang lebih rendah, dan pada masa yang sama menangani isu hartanah yang tidak terjual (supply overhang).

Mengikut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Lim berkata bilangan kediaman yang tidak terjual di Malaysia telah meningkat kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion sehingga suku ke empat 2018.

"Ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran.

"Berbanding dengan suku keempat 2017, ini merupakan peningkatan sebanyak 30.6 peratus dari segi bilangan kediaman yang tidak terjual dan sebanyak 27.0 peratus dari segi nilai kediaman tersebut," katanya.

Selain insentif untuk HOC, Lim berkata kerajaan juga telah menyediakan insentif untuk pembelian rumah pertama (tanpa mengira pembelian daripada pemaju perumahan atau secondary market), di mana pembeli rumah pertama boleh menuntut pengecualian duti setem.

Bagi harga rumah sehingga RM300,000 mendapat tempoh pengecualian bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari sehingga 31 Disember, 2020 dan harga rumah di antara RM300,001 dan RM500,000 bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Julai sehingga 31 Disember, 2020.

- Bernama