wrapper

Topik Popular

GUAN Eng (tiga kanan) dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa (tiga kiri) bergambar bersama Pengawai Pengurus Eksekutif JOIN, Noriyoshi Torigoe (dua kiri) serta Pengerusi Eksekutif Tasco Berhad, Lee Check Poh (dua kanan) di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah


PUTRAJAYA
: Malaysia kekal sebagai destinasi utama pelabur Jepun apabila Japan Overseas Infrastructure Corp for Transport & Urban Development (JOIN) melabur RM125 juta untuk membeli 30 peratus kepentingan dalam Tasco-Yusen Gold Cold Sdn Bhd.

Untuk tujuan itu JOIN semalam memeterai perjanjian pembelian kepentingan dalam Tasco-Yusen Gold Cold, iaitu anak syarikat Tasco Bhd, penyedia penyelesaian logistik dan gudang yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Tasco Bhd, Lee Check Poh, berkata pihaknya merancang untuk mengembangkan operasi perniagaan logistiknya pada masa akan datang menerusi dana penjualan saham anak syarikatnya itu.

"Selain itu, dana ini juga akan digunakan bagi pembayaran pinjaman dan juga untuk tujuan operasi harian," katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian pemegang saham di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Tasco diwakili oleh Check Poh dan JOIN oleh Pegawai Eksekutif Urusannya, Noriyoshi Torogoe sambil disaksikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sementara itu, terdahulu Guan Eng di dalam ucapannya, berkata pelaburan oleh JOIN itu menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan Malaysia dan dasar yang dibawa untuk mempromosi dan membangunkan pembangunan infrastruktur.

Katanya, pengambilalihan 30 peratus kepentingan itu menunjukkan yang JOIN telah komited untuk bekerjasama menerusi perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi bagi manfaat industri logistik tempatan.

"Dengan rangkaian global dan hubungan terus dengan syarikat gergasi Jepun, JOIN boleh menjadi jambatan menghubungkan syarikat Malaysia dengan negara lain seluruh dunia.

"Ini bukan sahaja akan menyediakan akses kepada perhubungan logistik yang lebih baik, tetapi juga menyediakan platform untuk syarikat Malaysia meraih capaian di peringkat antarabangsa," katanya.

JOIN dimiliki 87.9 peratus oleh Kementerian Kewangan Jepun dan ini adalah pelaburan pertamanya di Malaysia. Ia adalah dana persendirian kerajaan yang mengkhususkan dalam pelaburan infrastruktur luar negara.