wrapper

Topik Popular

PUTRAJAYA, 10 Jun - Kementerian Kewangan menegaskan pihaknya juga tidak mengetahui cadangan untuk membina dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang seperti laporan muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, hari ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, bahkan Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang juga tidak tahu berhubung laporan yang disiarkan akhbar itu.

“Sehingga kini, laporan The Star hanya menyebabkan kekeliruan dalam kalangan industri komunikasi dan pengangkutan kerana mereka tidak menyatakan siapa yang telah menghadiri atau menerima cadangan tersebut.

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan dua syarikat menghantar kertas cadangan bagi dua projek lapangan terbang di tanah besar Pulau Pinang bernilai puluhan bilion ringgit.

Memetik sumber, The Star mendakwa kedua-dua kertas cadangan lapangan terbang baharu itu akan menggantikan lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Baru dan menggugat cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dengan dibiayai oleh Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Guan Eng berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri itu tidak tahu mengenai perkara tersebut.

“Kelulusan daripada Pulau Pinang dalam hal ini adalah kritikal kerana ia melibatkan isu tanah,” katanya.

“Sebagai akhbar yang mengamalkan kewartawan bertanggungjawab, The Star yang dimiliki MCA juga tidak sepatutnya melakukan ‘serkap jarang’.

“Spekulasi tidak berasas ini juga sangat tidak adil apabila ia memberikan tanggapan negatif bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan kerajaan negeri atau rakyat dengan mempertimbangkan projek sebesar ini yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah atau 5,000 hektar tanah yang ditebus guna dari laut,” katanya. - UTUSAN ONLINE