wrapper

Topik Popular

PUTRAJAYA, 8 Jun - Skim perlindungan insuran kesihatan percuma MySalam yang sebelum ini terhad kepada hospital kerajaan kini diperluaskan kepada hospital perubatan universiti dan hospital angkatan tentera.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu setelah para pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerima manfaat daripada skim tersebut.

Antara 10 hospital terlibat iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah inovatif dengan memperluaskan jumlah hospital bagi memudahkan para pesakit dapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar.

"Skim mySalam merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) melalui kerjasama awam swasta antara Kerajaan Persekutuan dan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus (one-off) RM8,000 bagi mereka disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan penyakit alzheimer serta elaun hospital harian RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari lalu merupakan satu skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

"Skim ini ialah hasil kerjasama dengan syarikat insuran yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 Bilion ke dalam dana amanah mySalam," katanya. - UTUSAN ONLINE