wrapper

Topik Popular

PUTRAJAYA, 4 Jun - Bank Simpanan Nasional (BSN) mewujudkan kira-kira 350,000 akaun bank baharu secara automatik atas nama isteri pemohon Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sebelum ini gagal menerima bantuan itu kerana mendaftar nombor akaun salah.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini, menjelaskan akaun baharu itu diwujudkan, bermula semalam, untuk membolehkan bantuan berkenaan dikreditkan ke dalam akaun mereka berikutan nombor akaun bank yang didaftarkan sebelum ini tidak tepat.

“Seperti diumumkan Kementerian Kewangan pada 31 Mei lalu, daripada 3.6 juta isi rumah yang diluluskan BSH 2019, ada 0.3 juta penerima tidak dapat dikreditkan bayaran BSH ke dalam akaun bank.

“Sebab utama bayaran gagal dikreditkan ialah nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat apabila ada antara pemohon mengisi nombor akaun bank suami dalam ruangan yang sepatutnya diisikan nombor akaun bank isteri.

“Bagi golongan itu yang gagal dikreditkan ke dalam akaun bank, adalah dimaklumkan bahawa BSN berjaya mewujudkan hampir 350,000 akaun bank baharu secara automatik mulai semalam atas nama isteri pemohon BSH.

“Sehubungan itu, penerima berkenaan boleh hadir ke cawangan BSN bagi urusan pengaktifan akaun dan seterusnya pengeluaran tunai daripada akaun mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 dan emel ke: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..