wrapper

Topik Popular

Kementerian Kewangan membuat pembayaran balik sejumlah RM17.1 bilion cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan untuk tahun ini sehingga 30 April.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata ia meliputi pembayaran balik RM5.2 bilion cukai pendapatan kepada 70,205 kes syarikat, dan RM2.4 billion pemulangan cukai pendapatan kepada 1,186,288 kes bukan syarikat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan RM9.5 bilion pemulangan balik GST oleh Kastam Diraja Malaysia kepada 76,002 GST mereka yang berdaftar sehingga 30 April, 2019.

"Pembayaran balik bayaran cukai ini dijangkakan menjana impak positif kepada perniagaan di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata RM16 bilion daripada bayaran balik itu adalah daripada dividen istimewa sekali oleh Petronas berjumlah RM30 bilion untuk digunakan bagi membayar balik GST dan bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion tahun ini seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 tahun lepas.

“Dividen istimewa sekali dari Petronas ini mula dibayar kepada kerajaan secara berperingkat, dan bayaran balik kepada pembayar cukai bermula sejak Januari," katanya.

Beliau berkata tunggakan RM37 bilion dalam pembayaran cukai pendapatan enam tahun dan pembayaran balik GST selama tiga tahun melibatkan 121,429 pendaftar GST dan 1,653,786 syarikat, individu, masyarakat dan yayasan pembayar cukai pada 31 Mei 2018.