wrapper

Topik Popular

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Rosela Ismail

PUTRAJAYA : Dana daripada pemulangan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan strategik itu sebanyak RM51 bilion.

Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah berkenaan adalah termasuk faedah yang perlu ditanggung sebanyak RM10.8 billion dan pinjaman daripada kementerian yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB setakat ini iaitu sebanyak RM8.6 bilion.

Katanya, dana itu juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan yang terbit daripada usaha memulang dan melupuskan aset-aset 1MDB di seluruh dunia.

“Kementerian menyambut baik pengumuman Jabatan Peguam Negara bahawa sejumlah AS$322 juta (RM1.3 bilion) daripada aset-aset 1MDB dapat dikembalikan ke Malaysia berikutan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat. Jumlah itu adalah sebahagian daripada jumlah AS$4.5 bilion yang DOJ dapati diseleweng daripada 1MDB.

“Keputusan DOJ ini adalah kedudukan terkini setelah mahkamah Singapura mengarahkan dana berkaitan 1MDB sebanyak SGD50 juta dipulangkan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemulangan aset-aset ini adalah langkah awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan pemulihan reputasi Malaysia supaya tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi.

Guan Eng berkata, pemulangan aset-aset menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang berlaku berkaitan dengan 1MDB.

“Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB yang lain, dan pada masa yang sama akan memperkukuhkan kawalan dalaman dan inisiatif antirasuah supaya perkara sebegini tidak dapat berlaku lagi di masa hadapan.

“Kementerian juga ingin menyatakan penghargaan di atas usaha dan kerjasama pihak berkuasa luar negara yang terbabit dalam penyiasatan, pembicaraan dan penyelesaian kes ini,” katanya.