wrapper

Topik Popular

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Sarawak menerima dana RM41 bilion untuk melaksanakan lebih daripada 550 projek pembangunan.

Justeru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan mengabaikan Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur tidak benar dan bukan berasaskan fakta.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, peruntukan pembangunan di Sarawak untuk tahun ini saja ialah RM4.3 bilion, iaitu peruntukan kedua terbesar selepas Sabah.

“Bagi tahun ini, Sabah diperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5 bilion untuk pelbagai projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM42 bilion.

“Peruntukan kepada kedua-dua negeri ini tidak mengambil kira projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Jadi dakwaan kerajaan negeri Sarawak bahawa kerajaan Persekutuan mengabaikan negeri Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur berikutan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa 49 projek dilaksanakan di daerah Sandakan bernilai RM2.28 bilion tidak benar dan tidak berasaskan fakta.

“Memang benar terdapat 49 projek pembangunan yang diluluskan di daerah Sandakan untuk tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.28 bilion dan peruntukan pembangunan untuk tahun ini sebanyak RM183 juta.

“Tetapi pada masa yang sama, terdapat lebih daripada 550 projek pembangunan di seluruh negeri Sarawak dengan kos keseluruhan mencecah RM41 bilion,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan mendakwa kerajaan Persekutuan mengabaikan Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur, susulan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa 49 projek dilaksanakan di daerah Sandakan bernilai RM2.28 bilion.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri Sarawak tidak seharusnya mempertikaikan pemberian RM183 juta untuk daerah Sandakan bagi tahun ini, kerana Sarawak diperuntukkan RM4.3 bilion.

“Seperti yang dijanjikan, kerajaan Persekutuan memberikan lebih banyak peruntukan pembangunan di Sarawak dalam Belanjawan 2019, berbanding Bajet 2018 di bawah Barisan Nasional (BN).

“Selain itu, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM600 pada awal tahun ini dan akhir tahun lalu, telah diberikan kepada 275,000 pekebun kecil getah di Malaysia, dengan 58,000 penerima di Sarawak, berbanding hanya 6,000 di Sabah.

“Pengumuman baru-baru ini berhubung tambahan untuk BMT, bertujuan merangkumi 70,000 pekebun kecil getah di Sabah yang tercicir daripada pemberian yang dibuat sebelum ini,” katanya.