wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar
Bil Pertanyaan/Aduan Maklumbalas
1. Kelayakan Elaun Harian Bagi Penjawat Awam

Adakah layak sesorang pegawai menuntut Elaun Harian sekiranya makan disediakan oleh penganjur dalam tempoh pegawai tersebut bertugas rasmi di luar ibu pejabat?

Irfee Hafis Ab Aziz
6 Januari
Elaun Harian tidak layak dituntut jika kemudahan makan disediakan oleh Penganjur/Urus Setia.
2. Permohonan Baru Ejen Cukai di bawah Subseksyen 153(3) Akta Cukai Pendapatan 1967
  1. Adakah saya layak untuk memohon baru ejen cukai di bawah subseksyen 153(3) ITA 1967 sekiranya saya adalah ahli kepada mana-mana persatuan akauntan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti di bawah Jadual Pertama Bahagian II, Akta Akauntan 1967 dan lima (5) tahun pengalaman praktikal (selepas menjadi ahli persatuan) dalam bidang percukaian pendapatan dengan Kerajaan atau swasta. Saya telah berkhidmat sebagai pengurus cukai di syarikat swasta dalam sektor perkilangan dan sub-kontraktor selama lima (5) tahun selepas saya menjadi ahli persatuan iaitu MIA dan CTIM.
  2. Bolehkah saya menggunakan syarikat-syarikat sepertimana anak syarikat, syarikat berkaitan, syarikat induk sebagai senarai pelanggan yang dikendalikan oleh saya bagi tempoh satu (1) tahun sebagai senarai pelanggan?
KC Chen
8 Januari
  1. Sekiranya tuan/puan merupakan ahli mana-mana persatuan akauntan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti Jadual Pertama Bahagian II, Akta Akauntan 1967 dan mempunyai pengalaman 5 tahun (selepas menjadi ahli) hendaklah berpengalaman practikal dalam bidang percukaian sama ada dengan Kerajaan atau swasta.
  2. Berkenaan dengan senarai pelanggan atau kes yang dikendalikan, anak syarikat dan syarikat berkaitan syarikat induk boleh digunakan.
3. Permohonan Kadar Bayaran Baru Bahan Penerbitan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ingin membuat Permohonan Kadar Bayaran Baru Insentif Penulis Untuk Bahan Penerbitan, bahagian apa dan siapa yang perlu dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berkenaan perkara ini?

Mohd Hilmi Mohd Salleh
26 Januari
Tuan boleh merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mendapatkan maklum balas yang selanjutnya berkenaan permohonan tersebut.
4. Perolehan Kerajaan (Sewa Kenderaan)

Pihak kami ingin memohon kepada pihak tuan, sekiranya pihak tuan mempunyai contoh perjanjian sewaan kenderaan antara pembekal dan kerajaan untuk dijadikan sebagai contoh supaya selaras dengan pihak kementerian.

Mohd Ardino Haini
28 Januari
Dukacita dimaklumkan, pihak kami tidak mempunyai contoh perjanjian sewa kenderaan kerana kami tidak menguruskan perjanjian sewa kenderaan. Perjanjian sewa kenderaan adalah diuruskan oleh Agensi yang berkaitan dan bagi Kementerian Kewangan, diuruskan oleh Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan. Jika di Kementerian yang lain, perkara tersebut akan diuruskan Bahagian Pentadbiran masing-masing.
5. SPP Bil.7 Tahun 2007

Adakah SPP Bil.7 Tahun 2007 - Peraturan Arahan Perubahan Kerja (VO) masih berkuatkuasa?

Noorshazreen Shamsuddin
29 Januari
Kementerian Kewangan telah menggunakan 1PP mulai tahun 2014. Sila rujuk 1 PP PK 4/2013 yang akan menerangkan mengenai arahan perubahan kerja (VO) tersebut.
6. Sebutharga
  1. Bolehkan jawatankuasa spesifikasi mengangotai jawatankuasa penilaian sebutharga?
  2. Perlukah tiga (3) kajian pasaran dibuat bagi pembaikan kecil/pembelian terus yang bernilai RM3000 dan ke bawah?Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya 1 kajian sahaja yang dibuat bagi pembaikan kecil yang bernilai RM1000?
Nor Azzahra Mat Nawi
26 Januari
  1. Semua jawatankuasa hendaklah dianggotai oleh ahli yang berlainan.
  2. 1PP ada menetapkan pembelian terus perlunya kajian pasaran dibuat, nilai ditetapkan harus dirujuk kepada bahagian yang menetapkan had nilai tersebut. Kementerian Kewangan hanya menetapkan kajian pasaran bagi had nilai pembelian terus. Nilai yang ditetapkan sebagai kawalan dalaman oleh Agensi bukan di dalam bidang kuasa pihak kami.
7. Papan Iklan Luar (Billboard)

Dengan siapakah pihak syarikat ingin memohon untuk mendirikan Papan Iklan Luar (Billboard) disudut yang kosong (tidak digunakan/dibangunkan) yang bersesuaian diatas tanah kegunaan Kementerian/Jabatan atau Agensi dibawah kementerian kewangan.

Wan Aswady Wan Hasan
30 Januari

Segala urusan berkaitan dengan permohonan papan iklan luar (Billboard) di atas tanah persekutuan perlulah dirujuk kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana ianya bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Tuan boleh menghubungi Puan Fauziah Binti Abd Aziz, Pegawai perhubungan awam dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di talian 03-8871 2965 ataupun melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

8. Urban Transformation Centre (UTC)

Saya sedang mencari maklumat berkaitan UTC. Ada juga mendapat maklumat yang UTC ni di bawah MOF.

Zed
2 Februari
Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kewangan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan. Punca kuasa penubuhan UTC adalah menerusi Mesyuarat pada 24 April 2012 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri
9. Elaun pertukaran

Sekiranya seorang kakitangan di sesebuah jabatan yang bergred FT17 (kementerian A) dilantik ke jawatan yang baru sebagai J29 di bawah kementerian B, adakah beliau layak menuntut tambang pengangkutan barang seperti yang dinyatakan dalam WP 1.2/2013?

Fazira Mohd Zip
16 Februari

Perenggan melalui surat JPA bil. (40) dlm. JPA (S) 63/163 pegawai yang sedang berkhidmat, yang dilantik ke skim perkhidmatan yang lain oleh Pihak Berkuasa Melantik yang sama, atau ke dalam mana-mana Perkhidmatan Awam Persekutuan (Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan) layak menuntut bayaran perpindahan jika perlantikan itu melibatkan pertukaran dan perpindahan ke luar stesen. Tuntutan perpindahan berkenaan ditanggung oleh agensi yang menerima pegawai tersebut selepas pelantikan baru itu.

Oleh itu pegawai berkenaan layak menuntut bayaran balik perbelanjaan bersabit pertukaran tersebut termasuk tambang pengangkutan barang dan lain-lain elaun berdasarkan kelayakannya di jawatan baru dan tuntutan hendaklah dikemukakan ke kementerian B menggunakan borang tuntutan di Lampiran B-1, WP1.2/2013 dalam tempoh setahun dari tarikh pertukaran dilaksanakan.

10. 1PP, PP dan SPP

Saya ingin mendapat kepastian daripada pihak tuan berkaitan dengan penggunaan 1PP dan Pekeliling Perbendaharaan dan SPP. Adakah dengan pengujudan 1PP ini akan membatalkan PP dan SPP atau perlu dibaca bersekali seperti AP?

Munawir Mohd Rukun
17 Februari

Semua Pekeliling Perbendaharaan dipaparkan dalam modul 1PP adalah yang terpakai dan berkuatkuasa bermula pada 3 Julai 2014. Segala prosedur dan peraturan yang relevan dalam PP, SPP, SAP, PKP telah digabungkan ke dalam Pekeliling yang tersenarai mengikut Topik & Sub-Topik. Makluman bagi pembatalan pekeliling lama adalah seperti dinyatakan dalam para 4, melalui button “TARIKH KUATKUASA 1PP” di antara muka portal 1PP.

Bagi pekeliling yang sebelumnya masih boleh dilihat melalui portal 1PP dengan memilih button "Arkib" (sebelah kanan) seperti yang tersenarai di bawah Arkib Pekeliling bagi No. Rujukan Lama. Senarai direktori Pegawai Perhubungan Bahagian untuk 1PP boleh diperolehi dengan memilih button "Direktori & Indeks" (sebelah kanan) di antara muka modul 1PP dan memilih sub-topik yang berkaitan untuk penje;asan lebih lanjut berkaitan kanduangan pekeliling yang lama sama ada telah digabung ke dalam 1PP atau sebaliknya.

11. Duti setem untuk pinjaman kenderaan (motosikal)

Saya ingin bertanya berapakah duti setem bagi pinjaman kenderaan iaitu motosikal, jumlah pinjaman rm5,000 tempoh pinjaman 48 bulan?

Lina
24 Februari
Sekiranya pinjaman bagi pembelian motosikal tersebut di buat secara hire purchase duti setem yang dikenakan adalah sebanyak RM10 sahaja. Walau bagaimanapun, sekiranya pinjaman bagi pembelian teersebut dibuat melalui pinjaman peribadi daripada pihak bank duti setem yang dikenakan adalah sebanyak 0.5% daripada jumlah pinjaman.
12. Skim EX-GRATIA bagi tuntutan bencana kerja

Sekiranya isteri saya berlaku kemalangan semasa menjalankan tugas pada tahun 1978 yang menyebabkan beliau menghadapi penyakit yang kronik, adakah beliau layak menuntut dibawah Skim Ex-Gratia?

Ab Karim Dolmat
2 Mac

Skim Ex-Gratia Bencana Kerja telah diwujudkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 13 Tahun 1994 yang berkuat kuasa mulai 20 Oktober 1994 sebelum ditambah baik melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2001. Dengan berkuat kuasanya pekeliling berkenaan, anggota Perkhidmatan Awam yang ditimpa bencana kerja sehingga menyebabkan kematian atau hilang upaya kekal mulai tarikh kuat kuasa pekeliling layak menerima bayaran pampasan mengikut syarat dan kadar yang ditetapkan di bawah pekeliling-pekeliling tersebut.

Walau bagaimanapun, kemalangan tersebut tidak layak dipertimbangkan bayaran di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja kerana kejadian berlaku pada 1978, iaitu sebelum Skim tersebut berkuat kuasa.

13. Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dan Imbuhan Tetap Keraian (ITK)

Adakah Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dan Imbuhan Tetep Keraian (ITK) bagi pegawai kerajaan persekutuan adalah tertakluk kepada caruman KWSP?

Chong Chun Yen
15 Mac
Merujuk kepada Klausa 3.1, Surat Pekeliling Jabatan Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil.2 Tahun 1991 menyatakan bahawa "Mulai dari 1hb Jun 1991, potongan caruman KWSP hendaklah dikira berasaskan kepada gaji pokok serta semua elaun kecuali elaun yang dianggap sebagai bayaran balik. Oleh itu, BIW dan Elaun Keraian adalah tidak tertakluk kepada caruman KWSP kerana disenaraikan sebagai elaun yang bersifat bayaran balik.
14. Bolehkan kanak-kanak pemegang kad oku membeli kereta nasional

Bolehkah pemegang kad oku mendapat diskaun pembelian kereta nasional serta bolehkah bapa saudara atau sepupu yang menjaga pemegang kad oku membeli kereta nasional mengunakan nama beliau?

Azhar Ishak
15 Mac
Pengecualian 100% duti eksais ke atas kenderaan nasional bagi OKU di bawah kategori ketidakupayaan (cacat fizikal/pendengaran/ pertuturan) hanya diberikan kepada pemegang kad OKU dan memilihi lesen memandu yang sah.Keluarga/penjaga pemegang kad OKU tidak layak mendapat pengecualian tersebut.
15. Penjelasan mengenai Pekeliling berkaitan

Sekiranya Suami saya yang menjawat jawatan di KEMAS dan dilantik ke JTM, kepada siapakah tuntutan perlu dibuat?

Wahidah
6 Mac
Pegawai yang bertukar ke luar stesen layak menuntut Elaun Pertukaran berdasarkan syarat, kelayakan dan kadar di bawah Pekeliling Perbendaharaan WP 1.2/2013 (WP1.2/2013). Perenggan melalui surat JPA bil. (40) dlm. JPA (S) 63/163 seperti berikut:

"Pegawai yang sedang berkhidmat, yang dilantik ke skim perkhidmatan yang lain oleh Pihak Berkuasa Melantik yang sama, atau ke dalam mana-mana Perkhidmatan Awam Persekutuan (Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan) layak menuntut bayaran perpindahan jika perlantikan itu melibatkan pertukaran dan perpindahan ke luar stesen. Tuntutan perpindahan berkenaan ditanggung oleh agensi yang menerima pegawai tersebut selepas pelantikan baru itu."

Sehubungan itu, tuntutan Elaun Pertukaran Ke Luar Stesen bagi pelaksanaan pertukaran suami puan daripada KEMAS ke Jabatan Tenaga Manusia (JTM) perlu ditanggung oleh pihak JTM. Sekiranya kemudahan tidak disediakan oleh pihak Jabatan, tuntutan bayaran balik perbelanjaan bersabit pertukaran tersebut termasuk elaun-elaun yang layak dituntut boleh dikemukakan ke JTM menggunakan borang tuntutan di Lampiran B-1, WP1.2/2013 dalam tempoh setahun dari tarikh pertukaran dilaksanakan.

16. Pertanyaan Mengenai Para 12 Pada WP 1.4/2013

Bolahkah pegawai menuntut kos perjalanan dari ibu pejabat (lokasi lapor diri) ke Pejabat bertugas (tetap) mengikut pada WP 1.4/2013 . Contohnya, pegawai A yang dahulunya bertugas sebagai Pembantu Tadbir (N17) di JPA Putrajaya yang telah melepaskan jawatan terebut (Pelepasan dengan izin) dan menjawat jawatan Penolong Juruaudit (W27)di Jabatan Audit Negara pada 19 Januari 2015. Beliau menetap di Putrajaya. Sejurus selepas melaporkan diri, Pegawai telah diarahkan bertugas di Pejabat Kuala Lumpur. Sebubungan itu, pegawai telah membuat tuntutan (lapor diri selepas penempatan diberikan) kepada Jabatan.

Mohd Yazid Ghazali
9 Mac

Perenggan 3.1.1.6, WP1.2/2013 menetapkan "pegawai yang bertukar ke luar Stesen adalah bermaksud pegawai yang bertukar, berpindah rumah dan mendiami rumah berkenaan sahaja layak menuntut elaun pertukaran. Pegawai yang bertukar ke luar stesen tetapi tidak berpindah rumah hanya layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan/Tambang Pengangkutan Awam bagi dirinya kerana melapor diri ke tempat bertugas baharu, mengikut kelayakan di bawah Pekeliling Bertugas Rasmi yang berkaitan".

Sehubungan itu, bagi kes yang dirujuk, tuntutan perjalanan bagi melapor diri adalah perjalanan sehala dari rumah pegawai di Putrajaya ke pejabat baharu beliau di Kuala Lumpur berdasarkan kelayakannya di bawah WP1.4/2013 yang sedang berkuat kuasa.

17. Aset & Inventori

Mohon penjelasan samada pembelian barang (barcode scanner dan pencetak) perlu didaftar sebagai aset atau inventori atau alat ganti sahaja.

Suzana Bidin
10 Mac
Sekiranya aset berkenaan dibeli sebelum tahun 2015 maka puan perlu mendaftarkan kedua-dua aset berkenaan di dalam Harta Modal tetapi sekiranya dibeli pada tahun 2015 maka didaftarkan di dalam Aset Alih Bernilai Rendah bagi Barcode Scanner dan Harta Modal bagi pencetak.
18. Urban Trnasformation Centre (UTC)

Apakah bahagian yang didalam MOF yang terlibat dalam pengurusan UTC?

Rohainun Rasdi
13 Mac
Unit Strategi Nasional (NSU) merupakan unit di dalam kementerian kewangan yang terlibat dengan hal-hal berkenaan UTC.
19. Lapor diri untuk lantikan baru

Untuk makluman saya telah dilantik ke jawatan Penolong Akauntan W27 daripada Pembantu Tadbir Kewangan Gred W17 dan perlu melapor diri di Putrajaya dan menghadiri kursus di Sabak bernam kemudiannya perlu melapor diri semula ke Kuching, Sarawak. Adakah saya layak menuntut tambang perjalanan (udara dan darat/km),elaun makan/harian, elaun hotel@lojing, semasa tempoh proses lapor diri di Putrajaya hingga ke JPJ Kuching untuk mana-mana hari yang tidak disediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan makan minum.

Hasimah Bujang
17 Mac

Perenggan 3.1.1.6, WP 1.2/2013 menetapkan pegawai yang bertukar ke luar Stesen adalah bermaksud pegawai yang bertukar, berpindah rumah dan mendiami rumah berkenaan sahaja layak menuntut elaun pertukaran. Pegawai yang bertukar ke luar stesen tetapi tidak berpindah rumah hanya layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan/Tambang Pengangkutan Awam bagi dirinya kerana melapor diri ke tempat bertugas baharu, mengikut kelayakan di bawah Pekeliling Bertugas Rasmi yang berkaitan. Manakala pegawai yang bertukar dalam stesen tidak layak menuntut elaun, kemudahan dan bayaran pertukaran tersebut (3.1.1.7,WP 1.2/2013).

Sehubungan itu, tuntutan perjalanan, elaun makan dan Bayaran Sewa Hotel/ Elaun Lojing bagi maksud melaporkan diri di Putrajaya dan seterusnya menghadiri kursus di Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam sehingga melapor diri di Ibu Pejabat JPJ, Kuching, Sarawak boleh dikemukakan kepada Perbendaharaan untuk pertimbangan secara kelulusan khas.

20. Data Kajian

Boleh saya tahu bagaimana hendak memohon secara lebih mendalam data mengenai komponen-komponen perbelanjaan kerajaan dalam pendidikan.

Muhammad Baqir Abdullah
23 Mac
Setiap tahun Anggaran Perbelanjaan Persekutuan dibentangkan di Parlimen di mana secara umumnya, ianya mengandungi semua maklumat berhubung anggaran perbelanjaan persekutuan yang terdiri daripada semua kementerian dan sektor. Ianya termasuklah mengenai komponen Belanja Mengurus dan Belanja Pembangunan dan maklumat awam ini dapat diperolehi secara percuma di laman web www.treasury.gov.my di bawah tab 'Bajet'.
21. Bayaran Pindahan

Saya nak bertanya berkenaan dengan bayaran pindahan untuk pegawai yang telah bertukar ke wilayah yang lain. Sekiranya beliau membayar sendiri pengangkutan bayaran melalui cargo kapal terbang dan menuntut semula dalam tuntutan perjalanan, adakah beliau layak menerima bayaran pindahan?

Jamilah Othman
23 Mac

Di bawah 1Pekeliling Perbendaharaan WP 1.2/2013 (WP1.2/2013), pegawai yang bertukar ke luar stesen layak menuntut elaun, kemudahan dan bayaran seperti berikut:

    1. Tambang Perjalanan (perenggan 3.1.1.14);
    2. Tambang Pengangkutan Barang (perenggan 3.1.1.12);
    3. Bayaran Mengangkut Kenderaan (perenggan 3.1.1.3);
    4. Elaun Makan (perenggan 3.1.1.10);
    5. Bayaran Sewa Hotel/Elaun Lojing (perenggan 3.1.1.11);
    6. Pemberian Pindahan (perenggan 3.1.1.13); dan
    7. Belanja Pelbagai.

Sekiranya kemudahan pengangkutan barang tidak disediakan oleh Jabatan, pegawai boleh menuntut bayaran balik perbelanjaan pengangkutan barang berdasarkan syarat dan kadar yang ditetapkan melalui pekeliling tersebut. Untuk makluman puan, kemudahan pengangkutan barang hanya dibenarkan bagi jalan darat (tuntutan berdasarkan jarak perjalanan sebenar atas kadar yang ditetapkan di Jadual 1) dan laut (tuntutan berdasarkan resit/invois/bil tertakluk kepada had muatan yang dibenarkan). Sehubungan itu, Pemberian Pindahan hanya boleh dibayar bagi kaedah pengangkutan yang dibenarkan tertakluk kepada syarat di perenggan 3.1.1.13, WP1.2/2013.

22. Pertanyaan Pelepasan Cukai Kenderaan bagi Pembeli OKU

Saya difahamkan bahawa pembeli OKU boleh mendapat pelepas cukai 10% (sebelum GST 1 April 2015). Bagaimanakah dengan harga kereta tersebut selepas GST. Adakah dikenakan 6%?

Mohd Hatta
25 Mac
Pengecualian yang diberikan adalah pengecualian 100% duti eksais sahaja ke atas kenderaan yang dipohon. Cukai jualan atau GST masih akan dikenakan kepada pemohon.
23. Pertanyaan mengenai dasar pekeliling

Jika seseorang yang baru dilantik (lantikan baru) ke dalam perkhidmatan awam dan ditempatkan di luar wilayah adakah beliau boleh membuat tuntutan bayaran tambang pengangkutan barang persendirian beliau dari wilayah asal ke tempat beliau bertugas (tambang kargo) serta elaun lain. Jika boleh apakah pekeliling yang jelas menyatakan kelayakan beliau untuk membuat tuntutan tersebut?

Wahidah
30 Mac

Perenggan 12, Pekeliling Perbendaharaan WP1.4/2013 (Kadar Dan Syarat Tuntutan Elaun, Kemudahan Dan Bayaran Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Kerana Menjalankan Tugas Rasmi), seseorang pegawai yang baru pertama kali dilantik ke dalam Perkhidmatan Kerajaan layak membuat tuntutan perjalanan mengikut kelayakan pegawai setelah memegang jawatan yang ditawarkan terhad kepada perkara berikut:

  1. Pegawai layak menuntut Tambang Pengangkutan Awam/Elaun Perjalanan Kenderaan/tiket kapal terbang dari tempat kediaman ke mana-mana tempat yang diarahkan untuk melapor diri/berkursus/menghadiri taklimat dan sebagainya sehingga ke Pejabat yang diarahkan bertugas secara tetap; dan
  2. Tambang Pengangkutan Awam/Tuntutan Perjalanan Kenderaan/tiket kapal terbang yang boleh dituntut bagi keluarga hanyalah dari tempat kediaman ke tempat penempatan tetap pegawai. Bagi tujuan tuntutan ini, keluarga bermaksud bagi pegawai lelaki ialah isteri dan anak-anaknya dan bagi pegawai perempuan ialah suami dan anak-anaknya. Anak-anak yang berkelayakan ialah anak-anak yang ditanggung sepenuhnya oleh pegawai yang belum mencapai umur 21 tahun termasuk juga anak-anak tiri dan anak-anak angkat yang diiktiraf oleh undang-undang. Walau bagaimanapun, anak yang daif yang disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani, had umur ini tidak akan terpakai.

Pegawai lantikan pertama ke dalam Perkhidmatan Kerajaan tidak layak menuntut tambang pengangkutan barang dan lain-lain elaun serta kemudahan yang diperuntukkan di bawah Pekeliling Perbendaharaan WP1.2/2013 (Kadar Dan Syarat Tuntutan Elaun, Kemudahan Dan Bayaran Bagi Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Awam Kerana Bertukar/Berpindah Rumah) kerana pekeliling berkenaan hanya terpakai kepada pegawai yang sedang berkhidmat yang diarahkan/diluluskan berpindah rumah/bertukar sahaja.

24. Elaun Perpindahan/Pertukaran bagi anak

Seorang pegawai yang telah diarah bertukar dan telah membuat tuntutan perpindahan. Walaubagaimanapun anak beliau yang berada di asrama pada masa perpindahan tidak ikut serta. Anak yang berada di IPTA/IPTS yang berumur lebih 21 tahun ke atas juga tidak ikut serta. Adakah beliau layak untuk menuntut penginapan hotel/lojing dan makan bagi anak yang berada di asrama dengan alasan anak tersebut akan balik ketempat dimana beliau telahpun berpindah? Sekiranya boleh apakah pekeliling berkaitan yang kami boleh rujuk dan sekiranya tidak layak perenggan manakah yang boleh kami jadikan panduan bagi menerangkan maksud.

Zanariah Haron
3 April

Perenggan 2.5, Pekeliling Perbendaharaan WP 1.2/2013 menyatakan bahawa "Keluarga Pegawai” bermakna jika bagi pegawai lelaki, ialah isteri dan anak-anaknya; dan jika bagi pegawai perempuan, ialah suami dan anak-anaknya. Di mana disebutkan tentang tuntutan-tuntutan yang boleh dibuat bagi keluarga seseorang pegawai, maka anak-anak yang berkelayakan ialah anak-anak yang belum mencapai umur 21 tahun dan ditanggung sepenuhnya oleh pegawai yang tinggal bersama semasa pelaksanaan pertukaran atau perpindahan rumah. Walau bagaimanapun, anak yang daif yang disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani, had-had umur ini tidak akan dipakai. Istilah “anak” akan termasuk juga anak-anak tiri dan anak-anak angkat yang diiktiraf mengikut undang-undang atau kebudayaan.

Di dalam keluarga pegawai ini juga adalah termasuk seorang orang gaji yang digaji oleh pegawai. Kelayakan tuntutan adalah tidak termasuk anak yang berumur 21 tahun dan ke atas, sama ada masih dalam pengajian atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, had umur tersebut tidak terpakai kepada anak yang daif yang disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani.

25. Ex-Gratia

Adakah seseorang yang menghidap masalah seperti pertumbuhan saraf tidak normal dalam otak dan telah melakukan pembedahan di hospital yang menyebabkan beliau kehilangan daya perlihatan sebelah kanan. layak untuk menuntut ex gratia?

Mohammad Shukri Hashim
5 April

Skim Ex-Gratia Bencana Kerja merupakan satu skim yang menyediakan faedah pampasan kepada pegawai awam yang ditimpa bencana kerja sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian. Liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja adalah seperti berikut:

  1. Kemalangan/kecederaan yang berlaku di luar kawalan pegawai semasa menjalankan tugas rasmi termasuk perjalanan lazim dari rumah ke tempat bertugas dan sebaliknya.
  2. kemalangan/ kecederaan yang berlaku pada bila-bila masa disebabkan oleh perbuatan anasir-anasir jahat seperti balas dendam dan sebagainya akibat tugas rasmi pegawai; atau
  3. penyakit khidmat iaitu penyakit yang disebabkan atau berpunca daripada aktiviti dan faktor persekitaran di tempat kerja.

Walau bagaimanapun, Perbendaharaan berpandangan penyakit yang dihidapi oleh beliau bukan penyakit khidmat, sekaligus tidak melayakkan beliau dipertimbangkan faedah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja.

26. Perolehan Aset

Bolehkah jabatan saya membuat perolehan peti sejuk yang bernilai kurang daripada RM 2,000.00 menggunakan peruntukan mengurus di bawah Objek Sebagai 27000?

Noor Hafizah Ahmad
6 April

Untuk makluman perolehan barang tak luak bernilai RM 1,000.00 ke atas dan dijeniskan di bawah OA 30000 masih lagi menggunakan OA 30000. Manakala barang tak luak bernilai kurang RM 1,000.00 dan tidak dijeniskan di bawah OA 30000 menggunakan OS 27000.

Pihak kami dimaklumkan oleh pihak Bahagian Aset Perbendaharaan bahawa pelaksanaan pekeliling pengurusan aset tersebut telah ditangguhkan dan surat mengenainya telah dikemukakan kepada Pegawai Pengawal pada tahun lepas. Ini adalah selaras dengan penangguhan pelaksanaan perakaunan akruan.

27. SPP Bil.18 Tahun 1982

Tempat bertugas saya adalah di Pejabat Tenaga Kerja Bangi. Saya telah diarah untuk menghadiri Karnival di Sepang pada hari Sabtu sebagai tugas rasmi. Apabila mengemukakan Tuntutan Elaun Perjalanan saya kepilkan surat jemputan dan arahan Pengarah supaya saya hadir.Bagaimanapun Unit Kewangan tidak berpuas hati kerana saya tidak sertakan Lampiran 'A' sebagaimana yang dikehendaki di bawah SPP Bil.18 Tahun 1982. Saya agak keliru. Adakah tugas rasmi yang saya jalankan pada hari Sabtu di luar pejabat tertakluk kepada SPP Bil.18 Tahun 1982?

Md Hatta Md Jauhar
9 April
Pegawai layak membuat tuntutan perjalanan jika diarahkan secara bertulis oleh Ketua Jabatan untuk menjalankan tugas rasmi pada hari rehat mingguan sebagaimana ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan WP 1.4/2013 di perenggan 13.2. Tuntutan hendaklah dibuat menggunakan borang tuntutan perjalanan. Untuk makluman tuan, selaras dengan pelaksanaan 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP) pada 3 Julai 2014, semua Pekeliling Perbendaharaan (PP), Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) dan Surat Arahan Perbendaharaan (SAP) yang terdahulu adalah dibatalkan.
28. Tambang kapal terbang

Adakah tambang kapal terbang (pengangkutan awam) dikenakan GST?

Mohamed Huzaifah Mohamed Lasin
11 April

Tambang kapal terbang (pengangkutan awam) tertakluk kepada 6% GST. Namun pengangkutan penumpang antarabangsa seperti perkhidmatan kapal terbang yang disediakan untuk:

  1. membawa penumpang dari suatu tempat di luar Malaysia ke tempat lain di luar Malaysia;
  2. membawa penumpang dari suatu tempat di Malaysia ke suatu tempat di luar Malaysia; atau
  3. membawa penumpang dari suatu tempat di luar Malaysia ke suatu tempat di Malaysia. Pembekalan pengangkutan penumpang antarabangsa ini adalah berkadar sifar.
29. Pertanyaan mengenai terma TAKLIMAT

Adakah taklimat dikategorikan sebagai mesyuarat atau latihan? Hal ini kerana terdapat kekeliruan terhadap penggunaan terma tersebut khususnya dalam menguruskan tuntutan elaun perjalanan bagi pegawai awam yang menjalankan tugas rasmi. Oleh yang demikian, pekeliling mana yang patut dirujuk untuk menyemak kelayakan tuntutan bagi menghadiri taklimat?

Nurhidayah Selamat
15 April
"Tugas rasmi" adalah bermaksud tugas yang berkaitan dengan tugas pejabat selain daripada menghadiri kursus yang dibenarkan seperti mana tafsiran dalam Pekeliling Perbendaharaan (PP) WP 1.4/2013 di perenggan 2.5 manakala "kursus" bermakna sebarang kursus atau latihan yang berupa akademik, atau praktik, lawatan sambil belajar, seminar dan bengkel yang bercorak latihan seperti mana tafsiran dalam PP WP 1.10/2013 di perenggan 2.4. Sehubungan itu, kategori sesuatu program tersebut sama ada urusan rasmi atau berkursus tertakluk kepada semangat/prinsip/ tafsiran program tersebut yang ditentukan oleh Ketua Jabatan.
30. Pertanyaan berhubung perolehan bekalan ICT kerajaan

Saya ingin bertanya mengenai proses perolehan bagi bekalan dan perkhidmatan ICT kerajaan. Ada yang memaklumkan bahwa perolehan bekalan dan perkhidmatan melebihi jumlah RM20000 perlu dibuat secara sebutharga dan ada juga yang maklumkan hanya perolehan perkhidmatan sahaja yang melebihi RM20,000 perlu dibuat secara sebutharga dan kalau perolehan bekalan boleh dibuat secara belian terus bagi kos yang kurang daripada RM50,000.

Noor Atiqah
19 April
Dimaklumkan bahawa sebarang perolehan bekalan & perkhidmatan yang bernilai di bawah RM20,000 boleh dibuat secara pembelian terus. Bagi perolehan bekalan & perkhidmatan yang bernilai melebihi RM20,000 sehingga RM50,000 pula, perlu dipelawa secara sebut harga 'B'. Sila rujuk 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP) berkenaan tatacara perolehan (secara spesifik, 1PP/PK2/2013 perenggan 5 (vi)).
31. Pertanyaan mengenai Program Latihan Industri 2015

Adakah Kementerian Kewangan Malaysia menawarkan program Latihan Industri (Practical Training) kepada pelajar ijazah sarjana muda selama 3 bulan tahun ini? Jika ada, bagaimanakah saya boleh memohon?

Mohd Nabil Fikri Shaiful Annuar
21 April
Untuk menjalani latihan industri di Kementerian Kewangan, tuan boleh menghantar salinan resume serta surat yang berkaitan ke alamat emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. serta memaklumkan tarikh serta tempoh latihan yang bakal dilakukan.
32. Pertanyaan mengenai pegawai aset

Saya ingin bertanya mengenai kelayakan pegawai aset. Jika aset yang dimiliki oleh sesebuah Bahagian/Unit bernilai lebih dari RM20 juta dan barang tersebut lebih merupakan peralatan ICT. Pegawai gred berapakah yang layak dilantik sebagai pegawai aset Bahagian. Pekeliling yang mana boleh dirujuk mengenai kelayakan pegawai aset dengan nilai aset yanga ada?

Siti Fatimah
21 April
Gred jawatan Pegawai Aset adalah mengikut beban tugas, nilai serta bilangan aset yang dibawah kawalan jabatan tersebut dan seboleh-bolehnya hendaklah terdiri daripada Pegawai Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (P&P). Puan boleh merujuk kepada 1PP Bidang Pengurusan Aset KP1.1/2013 Perkara 6.
33. Sijil Pendaftaran MOF

Bagaimana caranya untuk memohon Sijil Pendaftaran MOF?

Awang Khairuddin Awang Dol
22 April

Untuk makluman, pembaharuan lesen kewangan boleh dilakukan secara atas talian dengan melayari laman web e-perolehan di www.eperolehan.gov.my. Berikut adalah cara permohonan pembaharuan:

  1. Di laman utama menu pembekal/perunding, klik pendaftaran pembekal/perunding.
  2. Pilih bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.
  3. Masukkan id log masuk dan kata laluan sedia ada dan klik butang log masuk.
  4. Di laman dashboard, klik profil dan pilih permohonan pembaharuan/permohonan tambah bidang.

Bagi khidmat bantuan mengenai cara pembaharuan, pihak tuan boleh menghubungi 03-7985 7777 / 7888 ataupun emelkan kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

34. Hasil dari jualan harta rampasan / sitaan

Saya memerlukan maklumat daripada pihak perbendaharaan berkenaan hasil yang diterima dari jualan harta awam yang dirampas. Hasil tersebut perlu diperakaunkan ke akaun atau kod hasil yang mana?

Linah Paiman
23 April
Kod yang bersesuaian adalah 76102 Denda-denda dan Rampasan.
35. Pelaksanaan GST

Sekiranya kontrak perjanjian sewaan ditandatangan sebelum 01.04.2015, adakah penyewa perlu membayar sewaan dengan tambahan 6% (GST) mulai 01.04.2015?

Fatin
16 April
Walaupun kontrak penyewaan ditandatangani sebelum 1 April 2015, GST tetap akan dikenakan bermula 1 April 2015 tertakluk ianya adalah penyewaan bangunan komersial. Penyewaan bangunan kediaman adalah dikecualikan dari GST.
36. Tuntutan perjalanan

Pegawai bertugas di Kota Kinabalu dan perlu menghadiri mesyuarat di W.P Putrajaya. Semasa tiba di KLIA, pegawai telah menuntut elaun perbatuan (mileage) dari KLIA ke tempat lojing. Bolehkah pegawai menuntut elaun perbatuan (mileage) dengan alasan beliau mempunyai kenderaan di Kuala Lumpur? Apakah dokumen yang perlu disertakan sekiranya beliau layak menuntut elaun perbatuan (mileage)?

Melisia Johan Ng
7 Mei
Pegawai yang menggunakan kenderaan sendiri bagi menjalankan tugas rasmi sama ada di dalam atau di luar Ibu Pejabat layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan sebagaimana ditetapkan dalam 1Pekeliling Perbendaharaan WP1.4/2013 di perenggan 5.7. Dalam hal ini, Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab memastikan tuntutan yang dikemukakan oleh pegawai adalah teratur, munasabah dan berpatutan serta menyediakan garis panduan dalaman yang sesuai di jabatan sebagai satu bentuk kawalan bagi mengelakkan pembaziran.
37. Bayaran saguhati penemuduga

Berapakah kadar bayaran saguhati penemuduga bagi pegawai Pengurusan & Profesional?

Makmar Kadapi Kornine
11 Mei
Pada masa ini, perbendaharaan tidak mengeluarkan peraturan khusus berhubung kadar bayaran saguhati kepada panel temuduga. Walau bagaimanapun, Perbendaharaan akan mempertimbangkan kelulusan khas berdasarkan permohonan/kes yang dikemukakan oleh Kementerian/Jabatan sekiranya mempunyai merit.
38. Kelayakan Elaun Menjalankan Tugas Rasmi

Seorang pegawai sering dijemput oleh Jabatan lain untuk menyampaikan ceramah pada kursus yang dianjurkan. Pegawai ini telah memohon dari Ketua Jabatan (Lampiran A) untuk menggunakan kereta sendiri kerana jarak perjalanan sehala kurang 240 km. Adakah Ketua Jabatan boleh meluluskan tuntutan elaun perbatuan kepada pegawai ini sedangkan beliau akan dibayar saguhati penceramah sambilan mengikut kelayakan oleh Jabatan yang menganjur? Bagaimana pula dengan tuntutan untuk penginapan/lojing dan elaun makan/harian pegawai ini sekiranya perlu bermalam?

Faizah Shamsuddin
11 Mei
Bayaran saguhati kepada pegawai Kerajaan yang memberi ceramah dalam kursus/ bengkel/ majlis rasmi yang dianjurkan oleh kementerian/jabatan bertujuan menggalakkan perkongsian maklumat, pengurusan pengetahuan dan pembinaan kapasiti modal sumber manusia ke arah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan sebagaimana dinyatakan dalam 1Pekeliling Perbendaharaan WP1.8/2013 mengenai Bayaran Saguhati Kepada Pensyarah/ Penceramah Dan Fasilitator Sambilan. Sehubungan itu, pegawai yang diluluskan oleh Ketua Jabatan bagi memberi ceramah di kementerian/jabatan lain layak menuntut bayaran, elaun dan kemudahan semasa bertugas rasmi seperti mana ditetapkan dalam 1PP 1.4/2013.
39. Penerangan Elaun Makan untuk Bertugas Rasmi
  1. Adakah definisi bertugas rasmi itu termasuklah kerja luar/ outstation? Fahaman saya kerja luar termasuk di bawah tugas rasmi berdasarkan Perkara 2.5 dalam pekeliling yang sama.
  2. Merujuk kepada Pekeliling Perbendaharaan WP 1.4/2013, elaun makan adalah seperti berikut: 5.1.3 Elaun Makan tidak layak dituntut jika kemudahan makan disediakan oleh Kerajaan atau Penganjur. Sekiranya sebahagian daripada kemudahan makan disediakan, pegawai hanya layak menuntut bahagian makan yang tidak disediakan tertakluk kepada kadar seperti berikut: (a) sarapan pagi - 20% daripada Elaun Makan; (b) makan tengah hari - 40% daripada Elaun Makan; (c) makan malam - 40% daripada Elaun Makan; dan Dalam pekeliling ini telah diterangkan sekiranya sebahagian kemudahan makanan disediakan oleh pihak penganjur/Kerajaan, maka pegawai hanya layak menuntut % mengikut kadar yang ditetapkan.
Bagaimana sekiranya:

Situasi 1: Pegawai menginap di sebuah hotel untuk kerja luar (cth: mengambil sampel air di lombong)dan tiada penganjur, dan bayaran hotel termasuk sarapan pagi. Adakah pegawai layak untuk menuntut 100% elaun makan atau hanya layak untuk 80% dari elaun makan?

Situasi 2: Pegawai menginap di sebuah hotel untuk menghadiri mesyuarat jabatan di hotel tersebut. Bayaran hotel adalah secara pakej termasuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Adakah pegawai layak untuk menuntut 100% elaun makan atau tidak layak untuk menuntut elaun makan?

Norinsafrina Mustaffa Kamal
22 April
Tafsiran "tugas rasmi" dalam 1Pekeliling Perbendaharaan WP 1.4/2013 adalah termasuk bagi pegawai yang bertugas rasmi di luar Ibu Pejabat; dan ii. pekeliling yang sama di perenggan 5.1 dan 6.1 jelas menetapkan bahawa Elaun Makan tidak boleh dituntut sekiranya kemudahan makan disediakan oleh Kerajaan atai Penganjur.
40. Bil-bil tertungak oleh Jabatan Kerajaan

Saya ingin tahu ke Jabatan manakah kami boleh menhantar rayuan jika mana-mana jabatan kerajaan tidak membayar bil-bil bekalan atau perkhidmatan selepas beberapa tahunnya.

Richard Mah
13 Mei
Tuan perlu mengemukakan Aduan Bayaran Lewat secara bertulis kepada Kementerian yang terlebih dahulu terlibat terlebih dahulu. Namun begitu, jika masih tiada tindakan lanjutan daripada kementerian tersebut, aduan tersebut boleh dipanjangkan kepada Seksyen Pematuhan dan Akreditasi, Bahagian Perolehan Kerajaan untuk diambil tindakan susulan.
41. Pembaharuan lesen kewangan

Saya ingin memperbaharui lesen kewangan saya. setahu saya borang serta pembaharuan boleh dibuat secara online. Tetapi saya tidak nampak mana satu ruanggan dalam homepage kementerian kewangan tentang borang tersebut.Mohan pihak Tuan/Puan memberi penerangan kepada saya dengan siapa saya harus berurusan bagi tujuan tersebut.

Syed Zikril
15 Mei

Untuk makluman, pembaharuan lesen kewangan boleh dilakukan secara atas talian dengan melayari laman web e-perolehan di www.eperolehan.gov.my. Berikut adalah cara permohonan pembaharuan:

  1. Di laman utama menu pembekal/perunding, klik pendaftaran pembekal/perunding.
  2. Pilih bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.
  3. Masukkan id log masuk dan kata laluan sedia ada dan klik butang log masuk.
  4. Di laman dashboard, klik profil dan pilih permohonan pembaharuan/permohonan tambah bidang.

Bagi khidmat bantuan mengenai cara pembaharuan, pihak tuan boleh menghubungi 03-7985 7777 / 7888 ataupun emelkan kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

42. Pertanyaan mengenai Pekeliling

Bolehkan seorang penjawat awam membuat tuntutan pindah rumah bagi rumah yang dibeli melalui skim pinjaman perumahan kerajaan yang terletak luar stesen iaitu lebih 25km, contohnya kerja di KL beli rumah di Seremban disebabkan rumah di Kl tak sampai kelayakan nak beli.

Berdasarkan tafsiran di perenggan 2.1, 1 Pekeliling Perbendaharaan WP1.2/2013 (WP1.2/2013), “Berpindah Rumah” bermakna berpindah rumah mengikut keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan di perenggan 4.1.1 atau 4.1.2 dan tertakluk kepada syarat bahawa pegawai mendiami rumah tersebut. Perenggan 4.2, WP1.2/2013 tidak meletakkan kriteria dalam stesen sebagai syarat kelayakan untuk menuntut elaun pindah rumah.

Sehubungan itu, pegawai yang berpindah ke rumah yang dibeli melalui Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan sama ada dalam atau luar stesen adalah layak untuk menuntut elaun pindah rumah tertakluk kepada syarat yang dinyatakan di perenggan 4.2, WP1.2/2013.

43. Berkaitan Elaun Penceramah
  1. Jika Timbalan Pengarah memberi ceramah bagi Unit dibawah kendalian beliau adakah beliau layak membuat tuntutan atau sebaliknya. Contoh Bahagian Perubatan - Unit Penguatkuasaan Perubatan melantik Timbalan Pengarah Perubatan bagi ceramah tersebut. yang mana unit tersebuat dibawah kelolaan Bahagian Perubatan dan membuat tuntutan menggunakan peruntukan bahagian perubatan juga;
  2. Jika Pengarah Kesihatan memberi ceramah di hospital/ Pejabat Kesihatan di bawah kelolaan beliau. Layak atau tidak membuat tuntutan.
Mohd Nazri Daud
19 Mei
  1. Pegawai/ kakitangan tersebut tidak layak dibayar elaun penceramah jika memberi ceramah di dalam Jabatan di mana pegawai bertugas;
  2. Jika program tersebut dijalankan secara bersama oleh unit/ seksyen pegawai bertugas dengan unit/ seksyen/ bahagian lain dalam jabatan yang sama, pegawai/ kakitangan juga tidak layak mendapat saguhati penceramah; dan
  3. Pegawai/ kakitangan hanya boleh dibayar saguhati penceramah jika memberi ceramah di luar jabatan sahaja yang bukan dijalankan secara kerjasama dengan jabatan pegawai/ kakitangan.

Kemaskini Terakhir : 31 Disember 2015

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Green Red Radian
Select menu
Google Font
Body Font-size
Body Font-family