wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Peningkatan Signifikan Kedudukan Malaysia Ke Tangga Ke-4 Dari Tempat Ke-7 Dalam Survei Asian Corporate Governance Association 2018 Membuktikan Bahawa Langkah-Langkah Pembaharuan Institusi Yang Dilaksanakan Oleh Kerajaan Sedang Membuahkan Hasil


Kedudukan Malaysia telah naik secara signifikan ke tangga ke-4 dari tempat ke-7 dalam satu survei mengenai akauntabiliti dan ketelusan pasaran menurut laporan 2018 CG Watch yang diterbitkan CLSA bersama dengan Asian Corporate Governance Association dalam bulan Disember. Untuk tahun ini, Malaysia merupakan negara yang mengalami peningkatan tertinggi sejak tahun 2016 di kalangan 12 negara pesaing serantau seperti Australia, China, Hong Kong, Jepun dan Singapura.

Carta 1: Kedudukan Malaysia di kalangan 12 negara serantau dari segi akauntabiliti dan ketelusan berdasarkan laporan 2018 CG Watch

Kedudukan  2018 2016
1 Australia Australia 
Hong Kong  Singapura 
3 Singapura Hong Kong 
4 Malaysia  Jepun
5 Taiwan Taiwan
6 Thailand Thailand
7 Jepun, India  Malaysia
8 - India
9 Korea Selatan Korea Selatan
10 China China
11  Filipina Filipina
12 Indonesia Indonesia

Kenaikan ini membuktikan bahawa usaha berterusan Kerajaan untuk menerapkan nilai Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dalam pentadbiran negara sedang membuahkan hasil. ACGA menerangkan bahawa peningkatan kedudukan Malaysia mencerminkan “langkah-langkah konkrit yang diambil untuk menyelesaikan isu-isu korupsi yang timbul semasa rejim Dato’ Sri Najib Razak berkuasa.” Laporan tersebut turut menyebut bahawa peningkatan kedudukan Malaysia adalah bersandarkan kepada optimisme yang berasal daripada perubahan kuasa pada 9 Mei 2018 yang membolehkan “penambahbaikan penguatkuasaan dan pelaporan” dilakukan.

Selain daripada langkah-langkah anti-korupsi yang dijalankan, Kerajaan telah memastikan supaya sistem tender terbuka dilaksanakan secara meluas dalam proses perolehannya. Ini bukan sahaja telah meningkatkan ketelusan dalam sektor awam, tetapi juga telah memberi kesan positif kepada pasaran tempatan. Penggunaan zero-based budgeting dan migrasi ke perakaunan akruan daripada perakaunan tunai bermula pada 2021 seperti yang dibentangkan semasa Belanjawan 2019 adalah sebahagian daripada agenda pembaharuan institusi Kerajaan untuk meningkatkan lagi paras akauntabiliti dan ketelusan dalam sektor awam.

Peningkatan kedudukan Malaysia dalam laporan CG Watch ini adalah hanya satu daripada beberapa contoh bagaimana kualiti tadbir urus di Malaysia sedang ditambahbaik dan menyumbang kepada kemampanan fiskal kerajaan. Usaha pembaharuan institusi serta kemampanan fiskal kerajaan telahpun menyakinkan tiga agensi penarafan kredit terbesar dunia untuk mengekalkan taraf kredit Kerajaan Malaysia kepada A- atau A3. Moody’s pada 7 Disember 2018 merupakan agensi terbaharu yang telah berbuat demikian setelah Fitch Ratings mengekalkan taraf kredit Kerajaan Malaysia pada A- pada 14 Ogos 2018.

Bukti terbaik setakat ini yang menunjukkan bahawa usaha pembaharuan institusi kerajaan berkesan adalah peningkatan 379% bagi pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) yang diluluskan dalam tempoh Mei-September 2018 ke RM35.0 bilion, berbanding hanya RM7.3 bilion bagi tempoh Mei-September 2017 seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau Malaysian Investment Development Authority (MIDA). Jumlah FDI ini dijangka akan mewujudkan lebih daripada 30,000 pekerjaan baharu apabila pelaburan tersebut dilaksanakan kelak.

Kerajaan akan meneruskan usaha pembaharuan institusi bagi menggelakkan salah guna kuasa yang lampau daripada berulang sambil meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
11 Disember 2018


Muat Turun Lampiran: