wrapper

Topik Popular

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Kerajaan Malaysia akan menganjurkan satu Persidangan Pelaburan yang bertema “Malaysia: A New Dawn” pada 9 Oktober 2018 bertempat di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur.

Objektif utama persidangan ini adalah untuk menyampaikan aspirasi Kerajaan kini dan masa hadapan serta mengukuhkan keyakinan pihak industri dan pelabur luar negeri terhadap pentadbiran Kerajaan baru. Persidangan ini akan dianjurkan bersama oleh kumpulan perbankan Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) dan RHB Banking Group (RHB). 

Di samping itu, persidangan ini bertujuan untuk memaklumkan kepada pelaburpelabur tempatan dan antarabangsa terhadap penemuan, matlamat dan pendekatan kerajaan dalam menyelesaikan serta mengatasi pelbagai cabaran, terutamanya isuisu fiskal yang telah dikenalpasti. Persidangan ini juga merupakan intipati awal kepada Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November 2018 kelak.

Kerajaan Pakatan Harapan baru telah berjaya memupuk keyakinan umum tentang kemampuannya dalam pengurusan ekonomi, sektor kewangan (monetary), dan pasaran modal walaupun menghadapi pelbagai isu fiskal yang disebabkan oleh masalah keberhutangan negara yang melibatkan RM1 trilion. Cabaran ini merangkumi isu sejauh manakah kerajaan harus mengimbangi perlunya mengawal keadaan defisit fiskal dengan kewajipan untuk menjamin penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pertumbuhan ekonomi ini termasuklah meningkatkan gaji, mengurangkan jurang pendapatan dan menjaminkan kesejahteraan ekonomi rakyat.

Persidangan ini akan disertai oleh wakil-wakil daripada Kerajaan Malaysia, pihak industri tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan kedudukan ekonomi dan sosio-politik Malaysia Baharu. Antara lain yang akan dibincangkan dalam persidangan ini ialah infrastruktur lestari, rumah mampu milik, komoditi asas-tani dan kesejahteraan sosio-ekonomi Malaysia.

Persidangan “Malaysia: A New Dawn” ini akan dirasmikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dan beliau akan menyampaikan ucaptama di persidangan tersebut. Manakala YBhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan penutup persidangan.

Pembentang utama yang lain termasuklah YB. Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan dan YBhg. Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia, YB. Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Tuan Ignatius Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB. Puan Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Teknologi dan Sains dan YBhg. Dato’ Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah. 

Persidangan ini dijangka akan dihadiri sekurang-kurangnya lebih 2,000 pengurus - pengurus dana, pelabur, bank dan pemimpin korporat daripada Malaysia dan negara serantau. Program ini merangkumi sesi pleno bersama Menteri-Menteri, Ahli Parlimen, Ketua-ketua GLC dan pakar utama industri terkemuka.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
2 Oktober 2018

Muat Turun Lampiran: