wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Pelan Tindakan Ekonomi Daripada Global Kleptokrasi Ke Arah Pertumbuhan
Mampan Dengan Disiplin Fiskal, Belanjawan Berhemat, Kestabilan Kewangan Dan Inflasi Rendah


Pada 13 dan 14 September semasa lawatan kerja saya ke Hong Kong sempena Forum Pelaburan CLSA Ke-25 di mana saya berucap, saya telah menekankan bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang tepat dari kedudukan global kleptokrasi dan menuju ke arah pertumbuhan ekonomi mampan dengan disiplin fiskal yang tinggi, belanjawan yang berhemat, kestabilan kewangan yang baik serta kadar inflasi yang rendah. Ini telah membantu memperkuat sentimen pelabur bahawa asasasas ekonomi Malaysia terus kukuh dan akan terus dipertingkatkan oleh kerajaan baharu yang komited untuk mereformasi institusi negara berteraskan ‘CAT’ iaitu competency (kecekapan), accountability (akauntabiliti) dan transparency (ketelusan).

Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali ke tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri telah melantik sebuah Kabinet yang terdiri daripada golongan berpengalaman dan golongan belia, yang mempunyai kecekapan dalam pentadbiran dan teknikal, berpandukan semangat yang tinggi untuk membersihkan Malaysia dan membanteras rasuah. Walaupun Kerajaan Persekutuan perlu bergelut dengan hutang dan liabilitinya yang mencecah bertrilion ringgit untuk tiga tahun yang akan datang ekoran skandal kewangan 1MDB dan kejatuhan mata wang disebabkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, Malaysia masih menjadi destinasi pilihan yang menarik bagi pelabur.

Masalah rasuah kewangan 1MDB tidak meruntuhkan nilai ringgit dan pasaran modal seperti yang dibimbangi oleh para pelabur kerana mereka sedar bahawa ini adalah isu rasuah yang diwarisi oleh rejim terdahulu dan yakin bahawa kerajaan baharu ini komited untuk membebaskan Malaysia daripada reputasi sebagai negara jaguh kleptokrasi sedunia. Tambahan pula, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China menguntungkan Malaysia kerana Malaysia boleh menjadi satu destinasi pelaburan berisiko rendah untuk pelabur dari kedua-dua negara tersebut.

Dengan ini, perlunya ada pelan tindakan ekonomi daripada global kleptokrasi ke arah pertumbuhan mampan dengan disiplin fiskal, belanjawan berhemat, kestabilan kewangan dan inflasi rendah. Pelabur mengetahui bahawa tahap keyakinan peniaga dan pengguna di Malaysia sedang berada pada paras tertinggi. Dalam erti kata lain, walaupun Malaysia mungkin mengalami masalah korupsi yang diwarisi dan faktor global di luar kawalan, dengan adanya reformasi institusi, ekonominya dijangka akan terus berkembang dengan pesat. Jika Malaysia berjaya menempuh cabaran fiskal ini dalam masa tiga tahun yang akan datang, pelabur yang mempunyai pelaburan di Malaysia sekarang boleh mengaut keuntungan atau pulangan yang besar kelak.

Kerajaan Persekutuan sedar akan cabaran yang perlu dihadapi berikutan pemansuhan GST, terutamanya tentang kekurangan pendapatan dan risiko lain yang berkaitan seperti kelewatan bayaran balik GST. Perbincangan antara agensi kerajaan dan penggubal dasar akan berterusan bagi menghadapi cabaran-cabaran ini.

1. Jawatankuasa Kewangan Awam (PFC)

Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kewangan Awam atau Public Finance Committee (PFC) yang diberikan mandat untuk mengukuhkan kewangan awam dan memacu strategi fiskal jangka sederhana. PFC akan dipengerusikan oleh saya selaku Menteri Kewangan dan ianya akan disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia sebagai ahli. PFC akan menjadi wadah utama dalam mengimbangi keperluan disiplin fiskal dengan perbelanjaan dan pelaburan berterusan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di masa depan. Jawatankuasa ini juga akan merangka strategi dan pelan dalam menguruskan cabaran fiskal ekoran pemansuhan GST.

2. Bayaran Balik GST

Bayaran balik GST yang masih tidak dikembalikan kepada syarikat-syarikat telah menjejaskan pengurusan aliran tunai dan kos perniagaan mereka. Peningkatan kos ini akhirnya akan disalurkan kepada pengguna. Inilah sebabnya kerana Kerajaan Persekutuan akan menunaikan bayaran balik cukai GST bermula tahun hadapan, walaupun berhadapan dengan kekangan kewangan ekoran beban hutang satu trilion yang dihadapi. Bagi memastikan supaya kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan sentiasa sihat, pembayaran semula akan dibuat secara berperingkat. Bayaran bagi perniagaan-perniagaan kecil akan diutamakan kerana mereka mungkin paling terjejas dengan penangguhan bayaran balik GST ini.

3. Pilihan Pembiayaan

Ada beberapa kaedah pembiayaan jangka pendek yang tidak akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam mengenal pasti komposisi pilihan yang optimum, prinsip-prinsip berikut akan dipatuhi: Pertama, kaedah yang mempunyai kos pembiayaan yang terendah diberikan keutamaan. Kedua, jadual dan saiz penjanaan dana akan dipilih berdasarkan keupayaan pasaran kewangan. Ini adalah bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini berlaku. Ketiga, sebarang bentuk strategi yang diguna pakai perlu menjaga keyakinan pasaran terhadap kelestarian fiskal dan ketahanan ekonomi.

Dalam menghindari kebergantungan yang berlebihan terhadap strategi tertentu, kombinasi kaedah berikut akan dipertimbangkan:

a. Terbitan bon dan sukuk

Kerajaan Persekutuan telah berulang kali menyatakan bahawa kerajaan akan berhatihati dalam menangani hutang dan liabilitinya yang sudah melebihi tahap RM1 trilion. Walau bagaimanapun, terdapat banyak manfaat dalam penerbitan bon dan sukuk oleh Kerajaan Persekutuan. Penerbitan bon dan sukuk adalah cara yang paling mudah digunakan, paling dipercayai di pasaran dan paling mudah diuruskan oleh kerana saiz besar pelabur-pelabur institusi. Penerbitan bon dan sukuk tambahan ini akan dibuat di pasaran secara berperingkat dan telus menerusi pengumuman kalendar lelongan seperti amalan semasa. Ini akan memastikan pelabur dapat menyerap terbitan tambahan ini tanpa mengubah hasil pulangan dengan ketara yang akan meningkatkan kos pinjaman Kerajaan.

b. Penjualan aset

Cara kedua adalah melalui penjualan sebahagian daripada aset Kerajaan Persekutuan yang tidak kritikal dan bukan strategik. Ini melibatkan penjualan saham, tanah dan pemajakan aset serta premis Kerajaan Persekutuan yang terbiar. Kerajaan akan memastikan supaya sebarang penjualan akan mematuhi standard tadbir urus dan ketelusan yang tertinggi tanpa menjejaskan komuniti perniagaan dan kepentingan rakyat.

Pengimbangan antara penambahbaikan fiskal jangka pendek, dan aliran pendapatan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang adalah penting kepada Kerajaan Persekutuan. Strategi dasar campuran ini melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan dan Kerajaan Persekutuan akan memastikan supaya semua pihak akan dirunding dan diberikan pertimbangan sewajarnya bagi memastikan strategi fiskal yang menyeluruh, seimbang dan mampu meminimumkan kesan negatif kepada rakyat. Pada masa yang sama, pihak berkepentingan yang sama juga perlu membantu Kerajaan Persekutuan merealisasikan strategi dan memenuhi matlamat untuk memberi manfaat kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
19 September 2018

Muat Turun Lampiran: