wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Lapan Faktor Utama Kekuatan Ekonomi Malaysia


Ketidaktentuan perkembangan global kebelakangan ini telah meningkatkan pesimisme serta risiko menurun terhadap pertumbuhan ekonomi dunia, terutama di kalangan pasaran baru muncul atau emerging markets. Malaysia sebagai satu negara perdagangan utama dunia tidak terkecuali daripada dipengaruhi perkembangan ini.

Walau bagaimanapun, prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia adalah antara yang terbaik di rantau Asia Pasifik. Sejak akhir tahun 2017, indeks tersebut telah naik 0.13% sehingga 7 September. Sebagai perbandingan, Indeks Straits Times Singapura dan Indeks Nikkei 225 Jepun masing-masing telah jatuh 8.29% dan 1.72% pada masa yang sama.

Disebabkan oleh pasaran pertukaran wang asing yang mendalam dan terbuka, nilai ringgit tidak dapat mengelak daripada dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Akan tetapi, sejak akhir tahun 2017, ringgit Malaysia adalah antara mata wang di rantau Asia Pasifik yang paling berdaya tahan berbanding dolar Amerika Syarikat, di mana ia telah menyusut hanya sebanyak 2.6% dalam tempoh yang sama.

Walaupun Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran, kita perlu mengingati bahawa ekonomi Malaysia secara asasnya adalah kukuh dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Kekukuhan ekonomi negara adalah berdasarkan kepada 8 faktor:

a.  

Pertama, pertumbuhan yang mantap. Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh secara berterusan dan stabil. Pertumbuhan ini dipacu dengan permintaan domestik dan luaran. Dengan KDNK yang dijangka tumbuh sekitar 5% pada 2018, Malaysia akan menjadi antara negara yang paling pesat membangun di rantau ini. 

b.

Kedua, kepelbagaian ekonomi yang tinggi. 54.5% daripada KNDK Malaysia terdiri daripada sektor perkhidmatan. Eksport negara juga terdiri daripada pelbagai industri, dengan sektor pembuatan menyumbang sebanyak lebih 80% daripada jumlah eksport.

c.

Ketiga, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan menyokong pertumbuhan ekonomi. Ini dapat dilihat daripada kadar pengangguran yang rendah pada 3.4% di bulan Julai 2018. Gaji di sektor swasta juga telah meningkat dengan baik sebanyak 6.2% untuk separuh pertama 2018. 

d.

Keempat, Malaysia terus menikmati lebihan akaun semasa. Lebihan akaun semasa negara berada pada tahap 2.8% daripada GNI pada separuh pertama 2018 dan ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan. Tambahan lagi, lebihan eksport barangan akan terus disokong oleh sektor eksport yang berdaya saing dan terdiri daripada pelbagai sektor.

e.

Kelima, kadar pertukaran mata wang yang fleksibel. Ringgit Malaysia telah menjadi lebih matang sejak Krisis Kewangan Asia berlaku pada akhir 1990-an dengan menjadi satu mata wang terapung atau fleksibel. Prestasi ringgit sekarang adalah antara terbaik di Asia. Fleksibiliti kadar pertukaran ringgit telah menjadikan mata wang Malaysia sebagai satu penyerap kejutan atau shock absorber apabila keadaan ekonomi tempatan dan dunia menekan. Akan tetapi, sektor perniagaan perlu mengambil maklum yang kadar pertukaran mata wang tidak dapat mengelak daripada berubah-ubah dan mereka perlu menguruskan pendedahan perniagaan kepada mata wang asing secara penuh bijaksana. Dalam jangka masa sederhana, Kerajaan Persekutuan akan terus memperbaiki asas ekonomi Malaysia dan nilai ringgit akan mengukuh untuk mencerminkan perkembangan positif ini.

f.

Keenam, penampan luaran yang mencukupi. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia bernilai USD104.4 bilion adalah mencukupi untuk mengendali transaksi antarabangsa. Tambahan lagi, rizab ini merangkumi hanya satu suku daripada jumlah aset luaran Malaysia. Bank-bank dan syarikat-syarikat memegang 3 suku daripada aset luaran Malaysia, iaitu RM1.3 trilion pada akhir suku kedua 2018 yang boleh dicairkan untuk memenuhi tuntutan kewangan luaran mereka sebanyak RM0.7 trilion tanpa membuat tuntutan ke atas rizab antarabangsa negara. Institusi kewangan Malaysia juga mempunyai modal yang sangat mencukupi dan mempunyai kecairan yang secukupnya untuk membantu aktiviti pengantaraan dalam negara. 

g.

Ketujuh, keadaan inflasi yang rendah pada bulan Jun dan Julai yang masing-masing berada pada kadar 0.8% dan 1.1%. Inflasi yang rendah akan memberi ruang kepada Malaysia untuk menghadapi sebarang inflasi yang diimport daripada luar yang disebabkan oleh penguatan nilai dolar Amerika Syarikat. 

h.

Kelapan, konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat telah mewujudkan satu peluang unik bagi Malaysia. Peningkatan tarif import akibat peperangan perdagangan di antara dua ekonomi terbesar dunia telah menyebabkan banyak syarikat, terutamanya syarikat pembuatan yang besar daripada China dan Amerika Syarikat, mencari tapak baru untuk loji dan kilang mereka di Malaysia yang dilihat sebagai satu destinasi pelaburan yang selamat. 

Tahap pendidikan, kualiti infrastruktur fizikal dan bukan fizikal serta penguasaan bahasa Inggeris dan Cina juga memberikan Malaysia satu kelebihan berbanding pesaing-pesaing lain seperti Thailand, Vietnam atau Indonesia. Malaysia juga kekal sebagai satu destinasi yang lebih murah berbanding negara-negara seperti Singapura dan terutamanya Hong Kong.

Tambahan lagi, walaupun berdepan dengan cabaran global, sentimen perniagaan dan pengguna telah meningkat dengan mendadak sejak Pilihanraya Umum yang lalu. Ini mencerminkan prospek positif bagi ekonomi tempatan. Berdasarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia atau Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Indeks Sentimen Pengguna telah melepasi paras ambang 100 mata dan meningkat ke 132.9 mata, paras yang tertinggi dalam masa 21 tahun. Ini menunjukkan bahawa perbelanjaan pengguna akan mengukuh dalam masa beberapa bulan yang akan datang.

Pada masa yang sama, Indeks Keadaan Perniagaan MIER telah naik ke 116.3 mata pada suku ke-2 2018, iaitu tahap yang tertinggi sejak 2015. Kajian selidik MIER yang merangkumi lebih daripada 350 perniagaan pembuatan mendapati bahawa pesanan domestik dan eksport telah berkembang, pengeluaran telah dipercepatkan, pelaburan telah meningkat dan kadar penggunaan atau utilisation rate telah bertambah baik pada suku tahun tersebut.

Kerajaan Persekutuan sedang bergelut dengan skandal korupsi 1MDB yang merupakan “global kleptoracy at its worst” yang telah meningkatkan hutang dan liabiliti kerajaan sehingga melebihi RM1 trilion. Kami berazam untuk menjalankan semua langkah yang diperlukan bagi memastikan korupsi dan penyalahgunaan kuasa dapat dibasmi daripada sistem pentadbiran negara. Dengan asas ekonomi yang kukuh, pentadbiran baik serta kebertanggungjawaban fiskal, Malaysia ada hanya satu arah sahaja untuk pergi, iaitu ke hadapan.

Akhir kata, saya ingin mengulangi mesej saya kepada semua rakyat Malaysia. Malaysia adalah satu negara yang kukuh, makmur dan mempunyai potensi yang hebat. Bagi merealisasikan potensi ini, Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kemampanan fiskal, mengukuhkan daya tahan dan mencapai pertumbuhan yang mampan dan saksama bagi negara Malaysia.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
17 September 2018

Muat Turun Lampiran: