wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Bekas Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Tan Sri Hasmah Abdullah Dilantik Pengerusi Jawatankuasa
Reformasi Cukai Atau Tax Reform Committee Menjelang
Belanjawan 2019


Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan telah berjaya memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta melaksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seperti yang dijanjikan. Langkah ini dijangka akan mengurangkan kutipan cukai sebanyak RM23 bilion untuk tahun 2019, iaitu jumlah yang akan dikembalikan sebagai hadiah kepada rakyat, sekali gus meringankan beban orang ramai terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Memandangkan asas cukai telah dikecilkan, kerajaan juga perlu mengkaji langkahlangkah selanjutnya supaya dapat meningkatkan kutipan cukai secara progresif tanpa membebankan golongan B40. Satu kajian menyeluruh ke atas sistem pencukaian Malaysia diperlukan bagi menjadikannya menjadi lebih efisien, berkecuali, progresif dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Saya ingin mengumumkan pelantikan YBhg Tan Sri Hasmah Abdullah sebagai Pengerusi Tax Reform Committee. Beliau mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam pentadbiran pencukaian di mana lima daripadanya adalah sebagai Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang pencukaian dan kewangan, iaitu Dr Verinderjeet Singh, Datuk Chua Tia Guan dan Encik Amardeep Singh. Jawatankuasa ini dilengkapi dengan penyertaan Setiausaha Bahagian Cukai dan Timbalannya, Dato Khodijah Abdullah dan Encik Mohd Sakeri Abdul Kadir, bersama Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Encik Mohd Hassan Ahmad.

Antara objektif utama jawatankuasa adalah mengenalpasti jurang pencukaian termasuk menangani masalah ketirisan cukai, pengenalpastian dan penerokaan sumber baharu pendapatan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, serta penyemakan keberkesanan insentif cukai mengikut tahap pematuhan syarat yang ditetapkan.

Kerajaan Persekutuan akan memastikan supaya ia mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi dan stabil bagi menunaikan segala tuntutan kewangan ke atasnya, sambil menjaga kemapanan fiskal dan memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan Persekutuan perlu menangani jurang dalam kutipan hasilnya kerana kekurangan ini akan membataskan usaha kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab sosial dan pembangunan terhadap rakyat Malaysia. Kerajaan Persekutuan juga telah membuat keputusan untuk menghentikan dan menangguhkan beberapa projek infrastruktur yang mewah atas sebab kekangan kewangan, sambil berbelanja dengan lebih berhemat melalui penggunaan sistem tender terbuka dengan lebih meluas.

Oleh kerana Kerajaan Persekutuan tidak merancang untuk menaikkan kadar cukai korporat dan individu, maka Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik dengan mereformasikan sistem pencukaian. Jawatankuasa Reformasi Cukai akan mengkaji semula sistem pencukaian secara menyeluruh. Jawatankuasa ini turut ditugaskan untuk memperluaskan dan mempelbagaikan hasil cukai tanpa meletakkan beban tambahan kepada rakyat, serta mencari cara untuk meminimumkan kebocoran cukai. Sebarang cukai baharu perlu dipertimbangkan berdasarkan kecekapan, sifat berkecuali, progresif, dan menggalakkan kemampanan ekonomi jangka panjang serta peningkatan produktiviti. Sekiranya dilaksanakan dengan betul, sebarang langkah pencukaian boleh menjadi lebih bersasar dan progresif. Malah, sebahagian besar langkah-langkah cukai ini telah dijalankan di negara maju dan di negara jiran. Yang penting sekali, langkah-langkah cukai ini tidak boleh membeban golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan akan memperkuatkan lagi mekanisme penguatkuasaan dan langkah pemantauan terhadap sebarang aktiviti penipuan, pengelakan cukai dan penyeludupan barang terkawal yang menyumbang kepada kehilangan hasil kerajaan. Kerajaan Persekutuan menghadapi kerugian pendapatan akibat aktiviti-aktiviti penyeludupan barangan haram dan aktiviti penyeludupan tidak langsung di mana beberapa pengeksport membuat pengisytiharan palsu, ataupun mengeluarkan invois palsu. Aktiviti ini biasanya dibantu oleh ejen penghantaran, ejen pemajuan (forwarding agent) dan juga ejen pengangkutan. Kunci dalam memerangi aktiviti penyeludupan di sempadan laut ataupun darat adalah memperkuatkan dan menyelaras penguatkuasaan. Lebih tumpuan akan diberikan dalam memperkukuhkan penguatkuasaan berhubung kes pengelakan cukai yang berkaitan dengan menyalahgunakan pemindahan harga (transfer pricing) dan perancangan cukai oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab. Kerjasama antara pihak berkuasa di dalam dan di luar negara adalah penting dalam membanteras rangkaian yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengelakan cukai ini. Kerajaan Persekutuan akan mengeratkan kerjasama antara pihak berkuasa di peringkat domestik dan antarabangsa.


Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
14 September 2018

Muat Turun Lampiran: