wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


Kerajaan Negeri Kelantan Adalah Penerima Terbesar Bantuan
Kewangan Defisit dan Bantuan Kewangan Pendahuluan Kerajaan
Persekutuan Sebanyak RM913 Juta 


(1)  Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk terus berusaha memelihara dan menambahbaik pentadbiran kewangan dan memastikan aturcara kewangan dipatuhi oleh semua Kerajaan Negeri dalam hal ehwal kewangan. Semua pemberian dan bantuan yang sedang berkuat kuasa melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang, keputusan Majlis Kewangan Negara atau keputusan Jemaah Menteri akan terus disalurkan.

(2)  Selain daripada Pemberian yang biasa disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah Pemberian Kepada Negeri-negeri Yang Menghadapi Kekurangan Wang Dalam Akaun Mengurus (Defisit). Pemberian tersebut diberikan kepada Kerajaan Negeri yang mengalami defisit di mana hasil Kerajaan Negeri tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain. Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima Pemberian Defisit yang tertinggi antara semua negeri berjumlah RM 363 juta.

(3)  Kerajaan Negeri adalah bertanggungjawab untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat dengan memastikan perbelanjaan tidak melebihi hasil negeri. Adalah diperhatikan bahawa hanya Kerajaan Negeri Kelantan telah mencatatkan defisit akaun mengurus untuk lebih daripada lima tahun berturut-turut. Tanpa bantuan Pemberian Defisit daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu untuk menampung bayaran emolumen kepada kakitangan Kerajaan Negeri. Pada tahun 2017, hanya dua negeri yang menerima Pemberian Defisit iaitu Kelantan dan Perlis. Bagi tempoh 2013 hingga 2017, Kerajaan Negeri Kelantan menerima bantuan Pemberian Defisit sebanyak RM363 juta dengan perincian seperti berikut:

 Tahun  2013 2014  2015  2016  2017  Jumlah
 Pemberian
 Defisit
 Kelantan

 (RM’juta) 
 86.1 95.1   67.2  59.9  54.7  363.0

 

(4)  Di samping Pemberian Defisit, Kerajaan Persekutuan juga memberi pendahuluan daripada Kumpulan Wang Pendahuluan iaitu tabung pusingan yang bertujuan membantu negeri-negeri mengatasi masalah aliran tunai. Sehingga 30 Jun 2018, jumlah pendahuluan yang telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan adalah berjumlah RM550 juta, di mana Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima yang terbesar. Daripada jumlah tersebut, pendahuluan yang masih tertunggak dan belum dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Kelantan adalah sebanyak RM 384 juta.

(5)  Dengan itu, Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM913 juta.

(6)  Di samping itu, Kerajaan Persekutuan juga memberi pinjaman kepada Kerajaan Negeri Kelantan di mana sehingga 30 Jun 2018 baki pinjaman yang belum selesai adalah berjumlah RM1,413.3 juta dengan jumlah tunggakan sebanyak RM 434.5 juta. Tahap tunggakan pinjaman juga menunjukkan ketidakmampuan Kerajaan Negeri untuk memenuhi dan menguruskan komitmen kewangannya.

(7) Kerajaan Persekutuan berharap supaya Kerajaan Negeri Kelantan dapat menguruskan hal ehwal kewangan negeri dengan lebih bertanggungjawab dan berhemah seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta meningkatkan hasil secara profesional dan sistematik demi mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan.


Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
8 September 2018

Muat Turun Lampiran: