wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


PENYEDIAAN BELANJAWAN 2019 DAN PERBINCANGAN FOCUS GROUP


Berikutan Konsultasi Belanjawan 2019 yang diadakan pada 12 Julai 2018, Kementerian Kewangan sedang memperhebatkan lagi perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan bagi mendapatkan input dalam menyediakan Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 2 November 2018. Beberapa sesi perbincangan focus group telah dijadualkan berlangsung dari bulan Ogos ke September dan perbincangan tersebut akan menyentuh beberapa perkara penting, termasuklah pasaran buruh tempatan, kualiti sistem pendidikan negara, pertumbuhan mapan dan kos sara hidup di kalangan masyarakat miskin di bandar. Wakil-wakil industri, badan-badan profesional, badan-badan bukan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan akan menyertai perbincangan ini yang bertujuan menyejahterakan rakyat Malaysia.

Semua rakyat Malaysia juga dijemput menyertai proses penyediaan belanjawan dengan menyumbangkan cadangan anda ke laman sesawang belanjawan2019.treasury.gov.my. Laman ini akan mula beroperasi dari 28 Ogos sehinggalah 30 September 2018. Anda juga boleh berkongsi idea dengan Kerajaan Persekutuan di Facebook, Instagram dan Twitter sambil menggunakan tanda pagar #belanjawan2019.

Semalam, saya telah mempengerusikan perbincangan focus group yang pertama yang memperbincangkan kaedah untuk memperbaiki keadaan kewangan Kerajaan Persekutuan. Antara topik khusus yang dibincangkan adalah cara untuk mempelbagaikan pendapatan kerajaan, mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan serta merasionalisasikan hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan yang telah melambung tinggi ke RM1.087 trilion akibat penyelewengan dan kelemahan tadbir urus kewangan kerajaan sebelum ini.

Walaupun berhadapan dengan masalah legasi yang berpunca daripada kerajaan lama, Kerajaan Persekutuan terbaharu akan tetap mengurangkan defisit fiskalnya kepada 2.8% daripada KDNK serta meneruskan agenda konsolidasi fiskal secara beransuran tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Untuk mencapai tujuan tersebut, Kerajaan Persekutuan akan menubuhkan dua jawatankuasa baharu, iaitu Jawatankuasa Kewangan Awam (Public Finance Committee) dan Jawatankuasa Reformasi Cukai (Tax Reform Committee).

Jawatankuasa Kewangan Awam akan menyediakan rancangan fiskal jangka sederhana sambil meneruskan agenda konsolidasi fiskal dengan mengambil kira keperluan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaannya. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan dan akan dianggotai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Jawatankuasa Reformasi Cukai pula akan mengkaji sistem pencukaian negara secara menyeluruh bagi menjadikannya lebih efisien, lebih neutral dan lebih progresif bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi tanpa membebankan rakyat. Antara langkahlangkah yang akan dikaji adalah cara meminimumkan ketirisan cukai dan pengelakan cukai.

Kerajaan Persekutuan juga sedang menimbang beberapa cadangan seperti melepaskan pegangan sahamnya dalam beberapa syarikat yang tidak kritikal dan tidak strategik tanpa menjejaskan kestabilan pasaran sambil melakukan lelongan tanah awam secara terancang dan tender terbuka. Sebelum ini, tanah-tanah awam telah dijual pada harga yang sangat rendah kepada pihak-pihak yang mempunyai hubungan politik dengan kerajaan yang lama. Perbuatan ini telah mengurangkan hasil Kerajaan Persekutuan.

Dari segi makro, Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memastikan keadaan ekonomi dan pasaran tempatan membangun dengan stabil. Walau bagaimanapun perlu ditegaskan bahawa seperti negara lain, prestasi pasaran modal tempatan dan juga keutuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh perkembangan global. Ini boleh dilihat apabila persetujuan pakatan perdagangan di antara Amerika Syarikat dan Mexico telah meningkatkan sentimen tempatan serta semua negara membangun (emerging markets). Sebagai contoh, Indeks Komposit Kuala Lumpur telah meningkat 0.8% atau 15.3 mata pada 28 Ogos 2018 apabila persetujuan tersebut dicapai. Sejak akhir tahun 2017, Indeks Komposit telah naik 1.7% sehingga semalam.

Sekiranya Amerika Syarikat dan China dapat mencapai muafakat di dalam perundingan perdagangan mereka, maka sentimen di pasaran modal dan nilai mata wang Malaysia dijangka akan meningkat lagi. Akan tetapi, sebaliknya akan berlaku jika rundingan tersebut gagal. Kerajaan Malaysia sedang memantau perkembangan global ini dengan rapi dan bersedia untuk bertindak jika perlu demi menjaga kesejahteraan rakyat.


Sayangi Malaysiaku!

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
29 August 2018

Muat Turun Lampiran: