wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


79,966 PERNIAGAAN TELAH BERDAFTAR DI BAWAH

CUKAI JUALAN DAN PERKHIDMATAN (SST)


1. Sehingga kini, sebanyak 79,966 perniagaan telah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah SST melalui pemindahan automatik dari sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (MyGST) kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (MySST) mulai pada 16 Ogos 2018 yang lalu.

2. Daripada jumlah 79,966 perniagaan yang telah berdaftar dengan JKDM di bawah SST, 32,577 perniagaan adalah berdaftar di bawah Akta Cukai Jualan (ACJ 2018) dan 44,874 perniagaan adalah berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan (ACP 2018).

3.Bermula pada 26 Ogos 2018, sejumlah 2,515 permohonan pendaftaran baharu SST telah diterima oleh JKDM. Permohonan pendaftaran baharu yang diterima akan diproses sebanyak dua kali pada setiap hari iaitu pada waktu 8.00 pagi dan 8.00 malam.

4. Selain itu, sebanyak 185 pendaftaran di bawah Butiran 1, Jadual C Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018 dan Butiran 2, Jadual C Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018 telah diproses secara auto-approved. 

5. Di bawah pelaksanaan GST, liputan barang-barang yang dikenakan GST 6% adalah sebanyak 11,197. Berbanding dengan pelaksanaan dibawah SST yang mempunyai liputan kategori barang-barang yang lebih rendah iaitu sebanyak 5,612 bagi Cukai Jualan 10% dan sebanyak 793 bagi Cukai Jualan 5%. Dengan ini, beban cukai ke atas pengguna adalah jauh lebih rendah kerana jangkaan kutipan hasil SST selepas ia dilaksanakan pada 1 September 2018 adalah sebanyak RM21 bilion setahun berbanding hasil GST sebanyak RM44 bilion yang dijangka dikutip pada tahun 2018.

6. Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan Malaysia menyeru kepada syarikat dan perniagaan yang layak berdaftar tetapi masih belum membuat sebarang pendaftaran agar segera berdaftar dengan pihak JKDM menerusi sistem MySST sebelum tempoh 1 September 2018. Syarikat atau perniagaan yang ingin berdaftar boleh melayari https://mysst.customs.gov.my atau menghubungi talian 1-300-888-500 atau mana-mana pejabat Kastam yang terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 Ogos 2018

 

Muat Turun Lampiran: