wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA/ MEDIA RELEASE

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA


PELANTIKAN PRESIDEN DAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF


Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Beliau mempunyai pengalaman yang meluas serta rekod perkhidmatan dalam bidang pengangkutan awam, minyak dan gas, pos dan lebuhraya. Jawatan yang pernah dipegang termasuk Pengarah Kumpulan dalam beberapa bahagian DRB-Hicom, Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Ketua Pegawai Operasi Unit Strategik POS Malaysia Berhad dan Pengurus Besar Bahagian Operasi Plus Expressways.

Dato’ Mohamed Hazlan menerima ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam daripada Imperial College of Science and Technology, London pada tahun 1988.

Beliau akan bertanggungjawab mentakrifkan halatuju yang baharu untuk Prasarana supaya pencapaian operasi Prasarana dalam sektor pengangkutan awam dapat dipertingkatkan. Pada masa yang sama Dato’ Mohamed Hazlan juga mempunyai peranan yang besar untuk melaksanakan penstrukturan semula syarikat bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan untuk merekodkan tahap pembiayaan kewangan yang lebih berkesan dan mampan.

Pada tahun 2017, kumpulan Prasarana telah mencatat pendapatan (revenue) sebanyak RM846 juta tetapi mengalami kerugian selepas cukai (loss after tax) sebanyak RM2,467 juta.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Puan Masnizam Hisham atas perkhidmatan beliau semenjak dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bermula 18 Januari 2018 sehingga 2 September 2018. Diharapkan puan akan terus berjaya pada masa hadapan.


Sayangi Malaysiaku!

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
3 September 2018