Print this page

TEKS UCAPAN
YB DATUK SERI JOHARI BIN GHANI

Menteri Kewangan II

SEMPENA
IFTAR RAMADHAN 2017 DAN MAJLIS PERASMIAN NAMA BAHARU SURAU KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


19 Jun 2017 | Kementerian Kewangan Malaysia


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

SALUTASI

Yang Berbahagia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Yang Dipertua Kelab Perbendaharaan Putrajaya

YBhg Dato’ Haji Che Pee bin Samsudin,
Ketua Akauntan Negara

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Timbalan-Timbalan Akauntan Negara

Setiausaha-Setiausaha Bahagian Perbendaharaan

Yang Berusaha Dr Nirwan bin Noh, Pengerusi Biro Agama Kelab Perbendaharaan Putrajaya Anak-anak Yatim yang diraikan

Seterusnya, tuan-tuan dan puan-puan warga Perbendaharaan, Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan muslimin muslimat yang saya hormati sekelian.

KATA-KATA ALUAN

Bismillahirohmanirohim
Alhamdulillahhirobbil alamin,
Wassolatuwassala mu’ala asrafil anbiya iwal mursalin,
Saidina Muhammadin, wa’ala alihi wasohbihi ajmain.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat bersama-sama dalam majlis Iftar Perdana pada hari ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak Kelab Perbendaharaan Putrajaya kerana menjemput saya ke majlis hari ini dan seterusnya merasmikan pelancaran nama baharu Surau Kementerian Kewangan Malaysia.

Muslimin Muslimat Yang Saya Hormati Sekelian,

Hari ini adalah adalah hari yang bermakna buat kita semua kerana Kelab Perbendaharaan Putrajaya telah bersetuju memilih satu nama untuk Surau kita ini, hasil daripada cadangan-cadangan yang diterima dari Warga Perbendaharaan Putrajaya.

Sebelum diumumkan nama baru Surau ini, saya ingin menyeru kepada semua untuk menarik lebih ramai warga Perbendaharaan Putrajaya untuk mengimarahkan Surau kita ini, dengan mendirikan Solat Zohor dan Asar secara berjemaah dan mengikuti kuliah-kuliah harian dan bulanan yang telah dirancang oleh Biro Agama Kelab Perbendaharaan.

Saya telah melihat pelbagai rancangan dan aktiviti yang telah dilaksana dan dirancang oleh Biro Agama Kelab Perbendaharaan untuk mengimarahkan lagi surau kita ini. Kuliah Zohor yang diadakan saban hari dari Isnin hingga Jumaat untuk warga Perbendaharaan Putrajaya dan tetamu yang hadir ke Kementerian Kewangan hendaklah dikekalkan. Syabas saya ucapkan kepada Yang Dipertua Kelab Perbendaharaan, Pengerusi Biro Agama Kelab Perbendaharaan dan ahli Jawatankuasanya yang berdedikasi menjalankan kerja-kerja amal kebajikan. Semoga Allah subhanahu wata ‘ala menganjari YBhg Tan Sri Dr/tuan/puan dengan balasan syurga. Amin.

Muslimin Muslimat Yang Saya Hormati Sekelian,

Dalam Surah Al Mujadalah Ayat 11 Allah subhanahu wata ‘ala berfirman, yang bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.

Sehubungan itu, sambutlah langkah-langkah proaktif yang dirancang oleh Biro Agama Kelab Perbendaharaan bagi meningkatkan ilmu-ilmu agama. Ilmu merupakan perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu Muslim kerana ia adalah perkara pokok dalam membina umat dan memberikan asas kepada kekuatan dan pembudayaan ilmu dalam kehidupan Muslim.

Surau kita ini seharusnya dijadikan tempat untuk beribadah serta menuntut ilmu-ilmu bukan tempat untuk mengutuk mana-mana insan. Apa lagi tempat untuk bertemu membuat komplot atau pergerakkan yang salah. Saya berharap ianya tidak terjadi di Surau kita ini. Suburkanlah fikrah untuk sama-sama membangunkan surau ini dengan program-program yang memberi manfaat dunia dan akhirat.

Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa, Ahli Jawatankuasa Biro Agama Kelab Perbendaharaan di bawah bimbingan YBhg Tan Sri Dr KSP mempunyai kesedaran yang tinggi untuk sama-sama memastikan surau ini digunakan dengan sebaik mungkin.

Muslimin Muslimat Yang Saya Hormati Sekelian,

PERASMIAN NAMA BAHARU SURAU

Pemilihan nama “Muhammad Al-Fateh” sebagai mengenang sumbangan dan kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh iaitu seorang tokoh Islam yang muda dan berjaya memimpin Empayar Uthamniyah untuk menakluk Kota Konstantinople daripada Empayar Byzantine.

Selain itu, nama “Surau Muhammad Al-Fateh” sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan golongan belia ke arah merealisasikan sasaran Transformasi Nasional Tahun 2050. Semoga kita semua mendapat Petunjuk dari-Nya dalam apa juga usaha kita di Kementerian Kewangan ini.

Akhir kata, saya berharap kebersihan surau ini juga hendaklah dijaga dan pastikan surau ini menjadi tempat yang menarik lagi menawan supaya ia dapat menggambarkan kehebatan, kemuliaan dan kesyumulan agama Islam itu sendiri. Dalam hal ini Bahagian Pentadbiran Perbendaharaan juga diharapkan dapat sama-sama menambahbaik dan memenuhi keperluan/kemudahan yang ada untuk memastikan surau ini berada dalam keadaan yang sentiasa baik.

Dengan lafaz "Bismillahir Rahmanir Rahim", saya dengan penuh takzimnya merasmikan pelancaran nama baharu Surau Kementerian Kewangan iaitu Surau Muhammad al-Fateh.

Sekian. Wabillahhitaufik, walhidayah, wassalamualaikum, warahmatullahi wabarakatuh.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
19 Jun 2017